JOHOR BAHRU – Jumaah Majlis Diraja Johor hari ini menafikan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, yang disabit kesalahan mencederakan petinju  negara Muhammad Farkhan Mohd Haron pada 2012, kerabat diraja Johor.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, dalam satu kenyataan di sini, turut menekankan kenyataannya pada 22 September 2017 bahawa hak dan kuasa melantik, menjadi dan memasukkan seseorang sebagai kerabat diraja Johor terletak kepada Sultan Johor.

“Ini adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal 7 (2) (e) Bahagian Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

"Jumaah Majlis Diraja mengesahkan tertuduh tidak pernah dilantik, dijadikan atau diiktiraf sebagai Kerabat Diraja Johor," kata beliau dalam kenyataan itu.

Abdul Rahim mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas dua laporan berita semalam yang menyatakan Tunku Nick Tazuddin sebagai kerabat diraja Johor.

Di dalam laporan itu, Bernama menyatakan Tunku Nick Tazuddin sebagai anggota kerabat diraja Johor.

Sehubungan itu, Bernama memohon maaf di atas kesilapan tersebut.

Semalam, hukuman penjara terhadap Tunku Nick Tazuddin, 32, dikurangkan kepada dua tahun namun ditambah dengan denda RM10,000 selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan  sabitannya  terhadap  pertuduhan mencederakan Muhammad Farkhan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seorang wanita kerdil yang mendakwa dirinya "puteri Sultan Pahang" mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini, hari ini atas lapan pertuduhan memperoleh wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2,841,690.
  • KOTA BHARU - Dua lelaki tidak mengaku salah atas tuduhan memperdaya seorang mangsa untuk menganggotai Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan, di mahkamah majistret, di sini, semalam.
  • ALOR SETAR - Status penubuhan Majlis Kerabat Diraja Kedah adalah sah dan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 14 November 2013 bagi menggantikan Persatuan Kerabat Diraja Kedah yang dibatalkan pada 26 September tahun sama.