• Tulang belakang kian bengkok Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim (tiga, kanan) ketika menyampaikan bantuan tilam khas kepada Mohd Faizal.
1 /

KOTA TINGGI - “Keadaan kesihatannya makin teruk, malah tulang belakang kian membengkok menyebabkan isteri saya kelihatan semakin mengecil,” kata Mohd Faizal Jamaludin, 35, suami kepada Hani Arziana A Razak, 33, yang kini menderita penyakit tulang belakang.

Menurut bapa kepada dua anak itu, keadaan kesihatan isterinya semakin serius selepas terjatuh ketika mengandungkan anak bongsu mereka menyebabkan Hani terlantar selama tiga bulan.

“Menurut doktor, tulang rawan isteri semakin menipis dan membengkak.

"Jika dahulu isteri saya yang bekerja sebagai pembantu tadbir menggunakan pengangkutan awam seperti bas untuk berulang alik ke tempat kerja.

“Namun, ekoran keadaannya yang tidak boleh berdiri lama dan cepat lemah menyebabkan dia kini perlu memandu sendiri ke tempat kerja di Johor Bahru.

“Dari luaran memang dia nampak sihat seperti orang lain, tetapi hakikatnya dia sedang menderita. Kadang kala saya juga tidak sanggup melihat keadaannya terutamanya ketika sakitnya menyerang,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan tilam khas daripada Pejabat Parlimen Tenggara.

Terdahulunya Mohd Faizal mewakili isterinya menerima bantuan yang disampaikan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim sempena majlis mesra pemimpin dan penyampaian sumbangan Parlimen Tenggara di Dewan Teratai Kampung Batu Empat di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Adun Panti, Datuk Baderi Dasuki, dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Negeri Johor, Zulkifli Sidek.
Mohd Faizal yang bekerja di Pejabat Pos Kota Tinggi berkata, pihaknya sememangnya tilam khas tersebut yang berharga RM1,000.

Bagaimanapun dia bersyukur dan gembira kerana permohonannya untuk mendapatkan tilam khas untuk pesakit tulang belakang yang diajukan kepada Pejabat Parlimen Tenggara mendapat perhatian dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk memulihkan isteri termasuklah mendapatkan rawatan tradisional.

" Alhamdulillah diharap dengan bantuan yang diberikan ini dapat membantu menyembuhkan isteri saya. Terima kasih kepada wakil rakyat kerana prihatin dengan nasib kami,” katanya.