JOHOR  BAHRU - Kekurangan tempat parkir kereta di Larkin Sentral di sini, dijangka selesai menerusi projek naik taraf bermula awal September 2019.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Yakop Haron berkata, projek naik taraf kepada parkir kepada tujuh tingkat secara berperingkat akan dilaksanakan oleh anak syarikat Johor Corporation (JCorp), Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) dengan peruntukan sebanyak RM27 juta.

"Ia turut dijangka menyediakan 1,400 tempat parkir kereta berbanding hanya 430 ruang parkir ketika ini

“Kami bercadang memulakan projek ini seawal September tahun depan demi memberi keselesaan kepada pengguna.

"Kami berpendapat apabila kita menuju ke arah negara maju, salah satu komponennya adalah pengangkutan. Sebab itu, kita mahu bersama-sama meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat kerja menaik taraf bangunan Larkin Sentral di sini, semalam.

Sementara itu, Yakop memberitahu kos keseluruhan pembangunan dan projek menaik taraf bangunan Larkin Sentral di bawah Program Waqaf Saham Larkin Sentral bagi tempoh 2016-2019 adalah bernilai RM85 juta.

Sebahagian pembangunan ini adalah melibatkan pemasangan Sistem Tiket Berpusat (CTS) dan Sistem Operasi Terminal (TOS) bernilai RM20 juta.