PAGOH - Pernah mendapat tawaran menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Pengajaran Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (Tesl) selain ditawarkan berkhidmat di sektor kerajaan untuk menjadi jururawat masyarakat, namun ditolak demi mengejar minat dalam teknologi makanan.

Siti Nurizzah Juahari, 24, merupakan penerima Anugerah Pengarah Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) selepas mencatat 3.60 Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) selain cemerlang dalam bidang kokurikulum termasuk mewakili politeknik ke simposium antarabangsa.

Katanya, meskipun terlewat mengikuti pengajian dalam peringkat diploma, namun dia tidak menjadikannya sebagai alasan untuk melupakan cita-citanya apabila terus berusaha mendalami kursus berkenaan.

Malah anak kelahiran Sandakan, Sabah mendedahkan dia sanggup menerima tawaran untuk bertukar kampus pengajian dari Sarawak ke semenanjung apabila dimaklumkan diploma dalam bidang Teknologi Makanan adalah terhad.

“Saya memang dah meminati kursus ini sejak berada di tingkatan empat lagi selepas mendengar ceramah daripada  Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkaitan teknologi makanan.

“Daripada situ, saya mulai terfikir mengenai sesuatu makanan contohnya bagaimana ia dihasilkan dan apa kesannya pada tubuh badan seseorang. Saya berpendapat bahawa apa yang dimakan itu akan menentukan siapa diri kita,” katanya ketika ditemui.

Anak kepada pasangan guru ini turut berkongsi mengenai kecekalannya menolak tawaran peringkat ijazah sebaik tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam aliran sains pada 2012.

“Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak begitu mengizinkan untuk saya melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi makanan peringkat asasi menyebabkan saya memilih untuk memasuki tingkatan enam.

“Bagaimanapun, keputusan STPM juga tidak melayakkan saya mendalami kursus itu dan oleh demikian, saya nekad mengikuti pengajian diploma di politeknik,” katanya yang mengakui turut menerima tawaran peringkat ijazah Tesl di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Anak keempat daripada lima beradik yang kini bekerja sebagai Pegawai Makmal di sebuah kilang makanan di ibu negara dan bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah selepas ini.

Di peringkat kolej, gadis itu pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PTSN selain Naib Yang Dipertua MPP Politeknik kebangsaan.