JOHOR BAHRU – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membelanjakan lebih RM1.77 juta untuk membaik pulih atau membina 43 buah rumah baharu melalui Projek Baiti Jannati (dahulu dikenali sebagai Rumahku Syurgaku) di Johor sejak 2007.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan Johor Bahagian Retail TNB Datuk Baderul Sham Saad berkata pada tahun ini sahaja, kerja-kerja membaik pulih atau membina baharu rumah itu melibatkan sebanyak 30 unit rumah manakala baki selebihnya dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya.

Tahun depan, sebanyak 12 rumah lagi disasarkan untuk dibaiki atau dibina baharu.

“Projek Baiti Jannati adalah program Tanggungjawab Sosial Korporat TNB yang sejajar dengan saranan kerajaan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu dalam usaha membaiki rumah atau membina baharu rumah golongan yang memerlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa.

“Golongan ini ialah golongan miskin dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin luar bandar dengan setiap rumah diperuntukkan RM50,000,” katanya pada Program Kembali ke Sekolah dan Penyerahan Berkelompok Projek Baiti Jannati negeri Johor 2018 di sini hari ini. Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyaksikan seramai sembilan penerima Projek Baiti menerima kunci rumah masing-masing manakala 200 murid dari keluarga yang memerlukan pula menerima bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM200 setiap seorang.

Sementara itu, seorang penerima projek berkenaan, Mohamad Md Salleh, 71, berkata atas keprihatinan TNB, dia bersama isteri kini sudah berupaya hidup selesa bersama serta seorang anak dan seorang cucu lelaki mereka.

“Dahulu saya tinggal di rumah pusaka arwah bapa. Atap banyak bocor, papan untuk dinding pula mereput kerana rumah sudah berusia kira-kira 100 tahun.

Apabila ribut atau angin kuat, pasti atap tercabut tetapi kini sudah terasa selesa. Rumah pula ada tiga bilik tidur dan satu bilik air berbanding hanya satu bilik tidur dahulu,” katanya.- Bernama