PONTIAN - Tiga perompak berputih mata apabila diberkas selepas beberapa jam melarikan sebuah telefon bimbit mengandungi tambah nilai RM1,900 dari sebuah kedai telefon bimbit di Pekan Peradin Telok Kerang di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam itu, pemilik kedai cuba mengejar perompak yang menaiki sebuah proton waja terbabit, namun tidak berhasil dan akhirnya meminta bantuan polis.

Menurutnya, bertindak atas maklumat diterima, suspek kemudiannya berjaya dikesan dengan bantuan kereta peronda MPV di Jalan Sawah Pekan Nanas.

“Berlaku kejar-mengejar diantara suspek dan polis sehingga ke ladang Estate South Malaya.

“Kereta dinaiki empat suspek itu terbabas melanggar tiang lampu. Seorang daripada suspek berjaya ditahan, manakala tiga  lagi rakannya melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi mengesan ketiga-ketiga suspek segera dijalankan dengan bantuan anjing dari Ibu Pejabat Polis ( IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

“Hasil dari operasi menggunakan anjing pengesan itu, dua suspek masing-masing berusia 24 tahun berjaya diberkas.

“Usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dilakukan di kawasan sekitar ladang dan Kampung Seri Menanti Pekan Nanas,” katanya.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta waja digunakan suspek, beberapa peralatan mencuri kenderaan ditemui antaranya sebilah parang berhulu warna biru, sebilah pedang samurai bersarung warna coklat, sebilah kerambil berhulu kayu dan alat pemutar “T” yang diubah suai menjadi peralatan mencuri kenderaan.

“Semakan mendapati kereta proton waja yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Setia Indah, Johor Bahru.

“Ketiga-tiga suspek yang ditahan itu beralamat di Masai dan Pasir Gudang dan mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, polis yakin berjaya menyelesaikan beberapa kes samun yang berlaku sejak kebelakangan ini di daerah Pontian dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek berkenaan.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang memburu dua lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Banggol, di sini, Ahad lalu, sebelum melarikan sejumlah barangan kemas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.