MUAR - Warga emas yang merupakan mangsa kemalangan Bas Harapan Johor kelmarin mengakui menggunakan khidmat pengangkutan awam itu tiga kali selepas konsep sama diperkenalkan sejak tahun lalu.

Sia Hai, 65, yang menetap di Kampung Panjang Sari, Pagoh, di sini, berkata, dia menggunakan perkhidmatan bas tersebut bagi menjalani rutin pemeriksaan pembedahan usus yang dilakukan baru-baru ini di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Menceritakan semula detik cemas itu, dia yang mengalami patah kaki bagaimanapun bersyukur kerana selamat dan mengakui trauma menggunakan perkhidmatan mana-mana bas dalam masa terdekat.

“Sejak kemudahan itu diperkenalkan, saya memang tak pernah daftar. Namun baru tahun ni saya nak manfaatkan perkhidmatan bas percuma, tapi tak sangka kali ketiga menggunakannya, ke­malangan berlaku.

“Bagaimanapun, saya tak bimbang untuk guna Bas Harapan Johor masa akan datang sebab kejadian ini merupakan insiden yang tidak dapat dielakkan, bukan kelemahan daripada segi infrastruktur dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.

Sia Hai akui aspek keselamatan juga berada dalam keadaan terbaik dan berikutan itu, sebaik mendaftar beberapa bulan lalu, dia lebih selesa menggunakan pengangkutan tersebut sekiranya tiada mana-mana ahli keluarganya yang berkelapangan.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Ahmad Faiz Ab Hamid, 60, berkata, dia menaiki bas berkenaan bersama isterinya, Afifah Yasir, 63, untuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghantar borang permohonan.

Bagaimanapun, kejadian berlaku pantas menyebabkan dia tidak dapat melihat keadaan yang berlaku sebelum menyedari  pemandu bas telah tercampak di kerusinya.

Menceritakan semula detik cemas itu, Ahmad Faiz yang duduk di belakang kerusi pemandu bas bersebelahan tingkap tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan keadaan bas yang tidak stabil.

“Tiba-tiba bas terus berlanggar dan saya yang kebetulan duduk di belakang pemandu melihat dia dah tercampak di sebelah kerusi saya. Pada masa sama, kerusi pemandu bas itu juga tersepit mengenai kaki saya.

“Masa tu tak rasa sakit sebab saya dan isteri terus berusaha menyelamatkan diri dengan segera keluar daripada bas. Kemudian, baru perasan kaki saya cedera sebab terkena besi tempat duduk pemandu,” katanya.

Terdahulu, kesemua lapan penumpang bas yang masih mendapat rawatan di HPSF menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang.

“Kejadian tidak diingini itu pertama kali berlaku dan menegaskan aspek ke­selamatan bas tidak pernah berada tahap rendah sejak perkhidmatan itu di­perbaharui semula bulan lalu,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Muar, Haffiz Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, Ramli Abd Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Mustafa Kamal Shamsudin dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Rajab.

Kelmarin, media melaporkan seorang pemandu Bas Harapan Johor maut selepas kenderaan dipandunya yang membawa 12 pe­numpang merempuh sebuah lori dari arah bertentangan.