ISKANDAR PUTERI - Fama Johor memberi jaminan tidak akan berlaku lambakan buah-buahan bermusim terutamanya buah durian di negeri ini.

Pengarah Fama negeri, Alwi Anang berkata, berikutan itu, pengusaha atau pengeluar buah-buahan berkenaan di negeri ini tidak perl bimbang.

Menurutnya, pihaknya telah memikirkan mekanisma tertentu untuk memastikan buah-buahan bermusim itu terus mendapat permintaan sehingga tamat musimnya pada bulan depan.

“Pada masa ini, sedang musim buah manggis dan durian serta rambutan. Dijangka pada bulan depan pula untuk buah pulasan dan duku.

“Trend buah-buahan ini tidak menjadi lambakan, cuma berlaku lebihan 40 peratus daripada musim terdahulu terutamanya di kawasan daerah Muar serta Tangkak.

“Manakala, daerah-daerah lain telah lebih awal berbuah iaitu sebelum hari raya lepas. Maknanya harga masih di bawah harga syiling dan ia masih dapat dijual dengan harga yang dapat menguntungkan pengusaha  dan pengguna mampu membelinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jualan Terus Dari Ladang Buah-buahan Bermusim Peringkat negeri Johor sempena My Best Buy di Kota Iskandar, semalam.

Alwi (tiga, kanan) semasa melawat gerai pameran Majlis Pelancaran Jualan Terus Dari Ladang Buah-buahan Bermusim Peringkat negeri Johor sempena My Best Buy di Kota Iskandar.

Disasarkan juga sebanyak 15 kali program seumpama itu akan diadakan pada musim buah-buahan kali ini bagi membantu para pengusaha memasarkan hasil terus kepada pengguna.

Program tersebut bertujuan mempromosikan buah-buahan tempatan kepada pengguna terutama bagi pengeluaran musim besar komoditi durian.

Alwi berkata, antara langkah yang diambil pihaknya adalah membantu memasarkan buah-buahan bermusim ini dipasar tani serta agrobazar mereka.

“Johor sahaja, kita mempunyai 60 pasar tani serta 37 gerai agrobazar. Sekarang ini, katakan kalau berlaku lebihan buah-buahan di Terengganu, kita akan bawa ke Johor.

“Sebaliknya, kalau di Johor ada musim lebihan durian ke Pahang atau Terengganu. Itulah konsep kita,” katanya.

Beliau berkata, pada masa kini terdapat 20 pengeksport durian di seluruh negara yang sedang mengumpul buah berkenaan dan mempunyai tempat yang khas.

“Eksport durian ke China masih lagi berjalan seperti biasa, tetapi bekalannya masih tidak mencukupi. Jadi, ini adalah masa yang sesuai untuk kita cukupkan bekalan,” katanya.