perhentian bas-terbakar
$entry.content.caption.value

SEGAMAT - Lebih RM500,000 diperuntukkan bagi membina dan membaik pulih semula Terminal Bas Dan Teksi Segamat yang terlibat dengan kebakaran September tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat, Ismail Abu berkata, lebih lima buah gerai yang terletak di aras satu terminal berkenaan terjejas dalam kejadian kebakaran pada 30 September itu.

Menurutnya, kejadian itu turut mendatangkan kecederaan ringan kepada salah seorang peniaga selain kerosakan pada peralatan per­niagaan.

“Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan dan pembaikan semula kerosakan yang berlaku di Terminal Bas Dan Teksi Segamat pada tahun ini.

“Tender yang dibuka bagi memilih kontraktor layak untuk kerja-kerja pembaikan semula terminal ini telah ditutup dan kita menjangkakan kerja pembaikan akan bermula tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang terlibat terlebih dahulu dibawa ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri kawasan yang bakal dibaik pulih serta kerja kerja yang perlu dilakukan ketika proses pelantikan kontraktor membaik pulih terminal ini.

Katanya, ia perlu kerana pembaikan bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi tetapi keselamatan pengunjung dan peniaga di terminal itu sendiri.

“Setelah kejadian kebakaran terminal bas dan teksi ini berlaku, kita memberi ruang kepada semua peniaga yang terlibat untuk menggunakan gerai lain yang masih kosong untuk menjalankan perniagaan sementara waktu.

“Ini salah satu inisiatif terdekat yang kita lakukan untuk mereka meneruskan perniagaan sementara menanti kerja membaik pulih siap sepenuhnya dan kita menjangkakan jika semuanya berjalan lancar terminal ini akan kembali seperti asal pada tahun ini,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.