• Pintu masuk ke Terminal Feri Tanjung Belungkor di Kota Tinggi. Pintu masuk ke Terminal Feri Tanjung Belungkor di Kota Tinggi.
1 /

NUSAJAYA – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) mengambil keputusan untuk menswastakan operasi Terminal Feri Tanjung Belungkor (TFTB), yang dimeterai 15 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, tindakan itu sebagai usaha mengembangkan operasi terminal berkenaan sekali gus bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri ini yang diberikan kepada syarikat Marina Island  Venture Capital (MIVC).

“LPJ sebelum ini telah melakukan pelbagai usaha untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan Terminal Feri Tanjung Belungkor termasuk mengadakan promosi melalui media cetak Singapura, menyertai pameran promosi pelancongan di Singapura dan antarabangsa, mengadakan karnival serta bekerjasama dengan pengusaha pelancongan di kawasan Desaru. “Bagaimanapun, usaha ini tidak menampakkan kesan peningkatan berbanding dengan  perbelanjaan promosi tersebut.

“Antara punca yang dikenal pasti menjadi penyebab usaha ini adalah kerana lokasi terminal itu yang terpencil kira-kira 25 kilometer dari kawasan Desaru, tiada tarikan pelancong yang dapat memberi impak di sekitar Tanjung Belungkor  dan Desaru sendiri serta sikap pelancong yang lebih gemar memandu melalui jalan raya untuk ke Desaru berbanding menggunakan feri,” katanya menjawab soalan Datuk Harun Abdullah (BNTanjung Surat) pada sesi yang sama  mengenai peranan LPJ yang dilihat sebagai ‘dingin’ dengan tidak memperkenalkan Tanjung Belungkor kepada pelancong.

Abdul Ghani berkata, TFTB dibangunkan pada 1991 dan mula beroperasi pada Mac 1993 projek di bawah Kerajaan Persekutuan dengan cadangan menarik pelancong dari Singapura untuk ke Desaru di mana kemudahan dan  kelengkapan feri yang sama turut dibina di Changi, Singapura. Sementara itu, perkhidmatan feri Roll On-Roll Off telah dibina oleh Ferrylink yang beroperasi selama 10 tahun (1993-2003) yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan disebabkan kekurangan pelancong.

Katanya, operasi penumpang dikendalikan kumpulan Syarikat Starcruise diikuti Syarikat Jaws Ferry yang turut memberhentikan operasi. “Saya berharap syarikat ini boleh mengendalikan dan menjalankan apa-apa kegiatan dan aktiviti  promosi pelancongan dan pelabuhan yang dibenarkan di TFTB,” katanya.