BATU PAHAT - Sekumpulan anak muda di Kampung Jorak Elahi, di sini, terkejut didatangi 'tetamu' tidak diundang, ketika mereka leka memancing di saliran parit, petang Ahad lalu.

Seorang pemuda yang mahu dikenali Din, 30-an berkata, dia bersama rakan sememangnya menjadikan aktiviti memancing sebagai rutin hujung minggu mereka.

Menurutnya, ketika itu sekitar jam 6 petang dia bersama rakan memancing di saliran parit kampung, tidak menyedari kehadiran seekor anak buaya sepanjang hampir satu meter.

Katanya, menjadi kebiasaan kepada mereka memperoleh hasil joran yang lumayan apabila menaikkan ikan seperti sepat, puyu, haruan selain beberapa lagi jenis ikan lain.

“Hasil yang banyak ini mendorong kami untuk kerap mengail di sini. Namun setelah sekian lama kami bermain di parit ini, inilah kali pertama kami terserempak dengan anak buaya.

“Sebelum ini terdapat juga penduduk kampung bersebelahan (Kampung Linau), menemui anak buaya seperti yang saya jumpa ini. Saya percaya haiwan ini dalam keluarga yang sama.

“Mungkin anak buaya ini tersesat dan masuk saliran perparitan di kampung ini, kerana saliran ini bersambung dengan Sungai Simpang Kanan yang menjadi habitatnya,” katanya.

Tambahnya, pada mulanya dia dan rakan-rakannya cuba menghalau reptilia berkenaan, tetapi ia enggan pergi sebaliknya terus menghampiri kumpulannya.

“Anak buaya ini tidak melawan, seolah-olah ingin mendapatkan belas kasihan. Kami tangkapnya kerana bimbang akan keselamatan, lantaran ia spesies haiwan pemangsa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya sudah dimaklumkan dengan kejadian itu, justeru turut memberitahu kepada polis bagi tujuan keselamatan.

“Saya harap individu yang menangkap anak buaya ini tidak terus menyimpannya kerana ia berisiko.

"Dinasihatkan agar anak buaya ini diserahkan kepada Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan segera,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.