JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan dua suspek disyaki terlibat dalam kes ragut seorang wanita di sebuah restoran nasi kandar di Bandar Permas Jaya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang merupakan wanita berusia 58 tahun tidak dapat berbuat apa-apa selepas beg tangan miliknya dilarikan salah seorang suspek ketika sedang menunggu pesanan makanan.

Timbalan Ketua Polis 1 Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Rupeah Abdul Wahid berkata, dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan yang mana salah seorang daripadanya menunggu dengan motosikal untuk melarikan diri.

“Ketika mangsa sedang menunggu pesanan makanan sambil menggunakan telefon bimbit, seorang lelaki bertopi keledar datang dan terus mengambil beg tangan yang diletakkan di sebelah mangsa.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, suspek kemudian melarikan diri ke arah sebuah motosikal yang sedang menunggu di luar dan terus memecut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Rupeah berkata, kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan sementara siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, mangsa difahamkan mengalami kerugian berjumlah RM400 selain kehilangan beberapa dokumen peribadi.

Terdahulu, video kejadian ragut yang berdurasi 17 saat itu menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp selain menjadi perhatian orang ramai kerana ia berlaku terlalu pantas.

Rakaman dipercayai dari kamera litar tertutup milik restoran itu, turut menyaksikan mangsa sedang menunggu makanan di salah satu meja di kaki lima premis sebelum diragut suspek.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seorang suami tergamak meragut beg tangan isteri sendiri demi mendapatkan wang untuk membeli dadah di kawasan Pasar Sungai Petani, dekat sini, pagi tadi.
  • GURUN - Dua beradik perempuan berusia 26 dan 24 tahun cedera akibat diragut di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya dekat sini pada jam 8.20 malam tadi.
  • KUALA LUMPUR - Penjenayah yang meragut telefon bimbit seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang sedang menunggu perkhidmatan Uber,di hadapan sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini ketika 7 September lalu, akhirnya dicekup.
  • SKUDAI - Polis berjaya menumpaskan 14 kumpulan daripada 571 orang yang ditangkap menerusi Ops Bersepadu Jenayah Jalanan yang dijalankan pada 30 Ogos hingga 12 September lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.