JOHOR BAHRU – Berbekalkan semangat kental, seorang warga emas memulakan misi berbeca sejauh 3,000km dari Johor Bahru ke Chiang Mai, Thailand untuk menyampaikan mesej kesedaran sekali gus mengutip dana untuk lima pertubuhan serta Tabung Harapan.

Cheah Chee Moon, 60, dari Pulau Pinang memberitahu, siri pengembaraan dijangka ambil masa 75 hari itu bermula dari Johor Bahru ke Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Padang Besar, Bangkok akhirnya Chiang Mai.

Menurutnya, siri pengembaraan itu inisiatifnya mencipta kelainan, sekali gus menguji keupayaan diri yang sebelum ini aktif berbasikal mengelilingi Malaysia termasuk negara luar.

“Sudah tujuh kali saya mengelilingi Malaysia dengan berbasikal dan pernah berbasikal hingga ke Vietnam, Laos serta Kemboja.

"Saya pilih beca kerana ia merupakan pengangkutan terawal di dunia.

"Beca yang saya gunakan ini ditaja sebuah syarikat yang mana ia seberat lebih 50kg dan dihasilkan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan di Taman Melodies di sini, yang disempurnakan oleh Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.

Pengarah sebuah rumah anak yatim itu memberitahu, beliau menyasarkan sejumlah dana RM600,000 berjaya dikutipnya siri pengembaraan yang pertama kali dijayakan di Asia dan dunia.

“Lima pertubuhan terlibat menerima kutipan dana dalam siri pengembaraan saya adalah Rumah Kanak-kanak Agape di Chiang Mai, Thailand; Rumah Good Samaritan (Klang, Selangor); Rumah Precious Gift (Ipoh, Perak); Rumah Kanak-kanak Berkat (Johor Bahru) dan Pertubuhan Kebajikan Cheng En (Johor Bahru).

“Saya sasar sejumlah RM600,000 kutipan dana dapat yang akan diagihkan kepada lima pertubuhan berkenaan dan selebihnya disumbang kepada Tabung Harapan sebagai sokongan kepada Malaysia,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, beliau mendapat sokongan padu ahli keluarga yang mengetahui minatnya terhadap kerja kebajikan.

“Antara cabaran akan saya hadapi termasuk perubahan cuaca. Hujan mungkin tidak mendatangkan masalah, berbanding cuaca panas dan terik terutama waktu tengah hari.

“Oleh itu, saya sasar untuk berbeca sekitar 55 hingga 60km sahaja pada setiap hari untuk kekalkan stamina supaya dapat sampai ke destinasi akhir nanti,” katanya.