$entry.content.caption.value
KULAIJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan menyelesaikan 35 projek perumahan terbengkalai seluruh negara sehingga penghujung tahun ini dalam usahanya meringankan bebanan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, setakat ini sebanyak 90 projek terbengkalai membabitkan 16,324 unit kediaman berjaya disiapkan daripada jumlah keseluruhan 167 projek terbengkalai.
“Pihak kerajaan sentiasa mencari mekanisme untuk membantu rakyat dan pembeli kediaman bagi mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai oleh pemaju swasta.
“Pada peringkat pertama kita memberi tumpuan terhadap projek perumahan kos rendah kerana sebahagian besar daripada pembelinya masih tidak mempunyai kediaman.
“Untuk itu, kita menyasarkan 35 projek terbengkalai akan diselesaikan dalam tahun ini demi kepentingan rakyat,” katanya.
Chee Heung berkata, pihak kerajaan amat memandang serius terhadap isu projek terbengkalai ini malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan komitmennya untuk menyediakan peruntukan bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Mawar bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi SPNB, Datuk Wira Ir Idris Haron.
Katanya, enam projek perumahan terbengkalai yang diambil-alih SPNB berjaya disiapkan dan sedang dalam proses mendapatkan Sijil Layak Menduduki (SLM) manakala satu lagi masih dalam pembinaan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau turut menempelak tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menggunakan khidmat konsultan perumahan dari Singapura bagi projek perumahan di negeri itu.
“Tidak perlulah lantik konsultan dari luar, kita ada melambak-lambak konsultan yang berpengalaman.
“Mungkin mereka baru tersedar selama tiga tahun ini mereka belum membina projek perumahan rakyat sedangkan Pilihan Raya Umum (PRU) hampir tiba,” katanya.





