JOHOR BAHRU - Polis Johor melancarkan operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor Bahru susulan insiden keracunan arak di Selangor.

Sasaran operasi sekitar jam 6 petang semalam adalah penempatan warga asing yang mempunyai perniagaan minuman keras tidak bercukai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lokasi operasi merupakan premis-premis yang kerap dikunjungi warga asing dipercayai ada menjual bahan-bahan diragui ketulenannya dan tidak mempunyai lesen khususnya menjual minuman keras.

Menurutnya, hasil serbuan berjaya menahan tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita selain merampas minuman keras pelbagai jenama sebanyak 311 tin bersamaan 142.90 liter.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke pejabat kastam di sini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barangan tersebut atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya akan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan kastam dalam menangani isu minuman keras yang tidak bercukai dari terus berleluasa di negeri ini.