JOHOR BAHRU -  Penduduk di Jalan Murni, Taman Suria, di sini, kini hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran kediaman mereka, Jumaat lalu.

Lebih membimbangkan, tanah runtuh itu hanya kira-kira lima meter dari bahagian belakang rumah dan tidak mustahil keadaan menjadi lebih buruk berikutan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku apabila benteng yang menahan tanah dari kawasan pembangunan berhampiran runtuh lalu mengakibatkan berlakunya luncuran tanah dan air deras hingga memasuki rumah penduduk.

Seorang penduduk, Eyrwan Yaacob, 38, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas sejurus dia mendengar bunyi kuat dipercayai daripada runtuhan tembok yang menahan tanah tersebut.

“Pada masa itu, hujan memang lebat sejak jam 3 petang, agaknya terlalu lebat, tanah itu jadi berat dan tembok belakang rumah saya ini tak dapat tahan.

“Dengar sahaja bunyi kuat di belakang, saya dan adik beradik lain terus berlari ke sana nak lihat tapi tak sempat air hujan dan lumpur masuk dengan cepat melalui tingkap dan ruang terbuka, memang risau dinding rumah pula roboh.

“Memang tak dapat selamatkan apa-apa, kami terus berlari keluar rumah sebab kebetulan masa tu rumah mak ayah kami ini penuh, ramai adik beradik balik jadi risau sebab ada budak kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Keadaan tembok dan tanah runtuh di bahagian belakang rumah penduduk.

Menurut Eyrwan, kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku tetapi merupakan yang paling teruk kerana paras air deras naik setinggi satu kaki (0.3 meter) selain nyaris mendatangkan kecederaan kepada keluarganya.

“Sejak pembinaan belakang ini buka, laluan air jadi makin teruk. Saya juga pernah buat aduan untuk tunjukkan rekahan pada tembok yang dibina.

“Nasib baik tiada kecederaan kali ini, tapi bimbang juga sebab ini rumah orang tua saya. Mereka dah tua tak berapa sihat, kalau lepas ni terjadi apa-apa, siapa yang nak tanggung nanti,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Md Saman, 73, yang menetap di situ sejak 29 tahun lalu berkata, perasaan berdebar itu masih ada dan kini agak bimbang untuk tinggal di kawasan itu.

“Ini bencana kali kedua berlaku sejak saya mendiami kawasan ini pada 1988. Semalam (Jumaat) pun saya tidur di hotel sebab risau perkara ini berlaku lagi maklumlah sekarang ini musim hujan.

“Dulu kawasan belakang ni lapang, jadi air ada tempat untuk mengalir. Bila dah mula pembinaan, mungkin saliran terlalu kecil untuk tampung jumlah air hujan sampai tembok belakang pun boleh pecah,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian Sabtu lalu mendapati kerja-kerja menutup kawasan runtuhan giat dilakukan selain proses membaik pulih tembok penahan tanah turut dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kejadian dipercayai akibat sistem perparitan yang tidak sempurna dan hujan lebat menyebabkan lumpur dari tapak pembinaan turun ke kawasan perumahan.

“Sebanyak 10 rumah terjejas ekoran perkara ini, bagaimanapun kerja-kerja pembersihan telah dilakukan selain anggota keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba turut digegaskan ke tempat kejadian,” katanya.

Kawasan tadahan hujan akan dialih

Shahrir (kanan) meninjau kawasan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh tersebut.

PIHAK kontraktor dan pemaju akan mengambil langkah drastik bagi memastikan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Murni, Taman Suria, di sini, tidak berulang.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, punca berlakunya kejadian itu sudah dikenal pasti dan pihaknya telah dimaklumkan mengenai tindakan susulan yang akan diambil.

Menurutnya, ia membabitkan proses pengalihan kolam tadahan hujan bagi kawasan pembinaan selain peningkatan tahap keselamatan untuk penduduk setempat.

“Saya dimaklumkan, pihak kontraktor akan mengalihkan kolam tadahan sementara yang dibuat ini di kawasan lebih jauh dari tembok penahan tanah yang telah runtuh ini.

“Kolam tadahan sementara ini sekarang memang hampir dengan tembok yang dibina, tekanan akibat limpahan air dari sumber itu mungkin menyebabkan tembok ini runtuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika membuat lawatan di kawasan kejadian, di sini, Sabtu lalu.

Shahrir berkata, kerja-kerja baik pulih itu dijalankan serta merta selain penduduk juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Jelasnya, kontraktor pembinaan itu juga akan bertemu penduduk untuk berbincang dan menyelesaikan masalah berhubung tuntutan ganti rugi.

“Mereka akan bertemu penduduk yang terjejas akibat perkara ini dan lihat apa kerosakan serta kerugian yang dialami. Ini bagi membolehkan kontraktor membuat tuntutan insurans berhubung kejadian yang berlaku,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang, Jumaat lalu, sebanyak 10 rumah di kawasan berkenaan dimasuki air deras dan lumpur berikutan tembok penahan tanah dari kawasan pembinaan terbabit runtuh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.