BATU PAHAT - “Saya tak tahu arwah suami pernah mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan tak tahu pun apa faedah kita dapat kalau mencarum,” kata Hasmah Zailani, 29.

Hasmah berkata, suaminya, Jamilan Baiman bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor pembersihan, namun meninggal dunia pada 11 Julai 2013 akibat serangan jantung.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai Perkeso selepas dimaklumkan pegawai dari Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (Maij) yang menguruskan bantuan yang dimohon.

“Pegawai Baitulmal bawa saya ke pejabat Perkeso untuk tanyakan pampasan suami dan masa itulah baru saya tahu arwah pernah mencarum.

“Baru saya tahu ada faedah yang saya dan anak layak dapat iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan juga Pencen Penakat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sejagong, Sri Medan.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, walaupun terdapat sesetengah kejadian sudah berlaku beberapa tahun, jika individu itu pernah mencarum dia layak mendapat faedahnya.

"Contohnya yang berlaku kepada keluarga Hasmah ini, walaupun sudah hampir empat tahun suaminya meninggal dunia. Sekiranya pernah mencarum pihak Perkeso akan melakukan siasatan.

“Hasil daripada siasatan berkenaan waris si mati ini layak menerima dua faedah iaitu FPM sebanyak RM1,500 dan juga Pencen Penakat yang dibayar setiap bulan sebanyak RM581.25," katanya.

Beliau berkata, Hasmah dan anaknya juga akan menerima bayaran tunggakan pencen dari mula tarikh suaminya meninggal dunia.

“Bagi syer isteri, ia akan dibayar selagi masih hidup, manakala bagi syer anak pula akan dibayar sehingga umurnya 21 tahun atau menamatkan pengajiannya di pusat pengajian tinggi di peringkat ijazah pertama,” katanya.

Suhara berkata, pihak Perkeso Batu Pahat kini bekerjasama dengan Baitulmal Maij untuk mengesan mana-mana balu yang layak menerima faedah, yang kebanyakannya tidak mengetahui suami mereka adalah pencarum.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Nasib seorang ibu muda yang kematian suami akibat kemalangan jalan raya September lalu terbela apabila menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
  • KUANTAN - Kehilangan isteri yang maut akibat ditikam penyamun ketika rumah mereka dipecah masuk pada 29 Sept lepas cukup memberi kesan kepada Mohd Nasrul Mansor serta tiga orang anaknya.
  • BANDARAYA MELAKA - Masih ramai kalangan pemandu Uber dan GrabCar yang keliru untuk mendaftar Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
  • BANDARAYA MELAKA - Seorang pemandu teksi di Melaka, tidak menyangka keterbukaan hatinya untuk mendaftar Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Perkeso setelah terdengar perbualan di kedai kopi akhirnya membawa faedah besar buatnya setelah dia ditimpa kemalangan tidak sampai sebulan membuat caruman.
  • KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Terengganu akan memperluas liputan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) terutama membabitkan pemandu teksi, Grab Car dan Uber.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.