KOTA TINGGI- Sepuluh warga Indonesia disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan pihak berkuasa ketika cuba keluar dari negara ini menggunakan jalan tidak sah di tepi jalan besar berhadapan kawasan penetasan udang, Sungai Tengah, Bandar Penawar, dekat sini, malam  tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun itu ditahan dalam satu operasi pada pukul 9 malam, yang turut disertai  sepasukan pegawai dan anggota polis serta anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).

“Hasil maklumat orang awam dan hasil risikan, kita berjaya tahan tujuh lelaki dan tiga perempuan yang mana dua daripada mereka dipercayai tekong darat.

"Turut dirampas dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Iswara serta empat telefon bimbit. Anggaran nilai rampasan adalah kira-kira RM20,000,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri  yang sah dan Seksyen 5(2) Akta Immigresen 1959/63 (pindaan 2002)  keluar melalui jalan yang tidak diwartakan oleh Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, dua tekong darat akan disiasat di bawah Seksyen 26A  Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).- Bernama