JOHOR BAHRU – Dahulunya, dialah yang membantu masyarakat tanpa mengira lelah, bagaimanapun tugasnya kini teralih menjaga suami selepas teman hidupnya itu menderita kanser prostat sejak lapan tahun lalu.

Tumijah Anang, 66, yang merupakan bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Teres Ros Merah memikul tanggungjawab menjaga Othman Kassim, 74.

Menurutnya, sejak suaminya menghidap penyakit itu, pergerakan mereka semakin terhad dan kini tinggal di rumah anak bongsu, Nor Adawiyah, 40, yang bekerja swasta dan mempunyai tiga orang anak di Johor Jaya.

“Kami tidak pernah menerima bantuan bulanan daripada mana-mana agensi. Segala perbelanjaan dibantu ketiga-tiga anak saya yang sudah berkahwin.

“Suami saya perlu jalani rawatan sekurang-kurangnya sebulan sekali di Hospital Sultan Ismail. Akibat penyakit itu, dia semakin hilang selera makan dan perlu memakai lampin pakai buang.

“Sejak lepaskan jawatan pada 2008, saya masih mengikuti perkembangan parti dan mengucapkan terima kasih kepada Umno yang masih mengingati jasa saya dan selalu menghulurkan bantuan kepada saya dan suami,” katanya.

Terdahulu, Tuminah ditemui pada program Kunjung Kasih Hari Raya Aidiladha anjuran Pejabat Parlimen Pasir Gudang bersama Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Cawangan, Abdul Razak Mahat dan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang, Che Nooriah Ismail.

Sementara itu, Pegawai Parlimen Pasir Gudang, Anizah M Noar berkata, seramai 100 asnaf yang terdiri daripada golongan warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal di kawasan Parlimen Pasir Gudang menerima sumbangan daging korban dan kek bersempena program tersebut.

“Ia merupakan program tahunan kami dalam membantu individu kurang bernasib baik sempena sambutan perayaan Aidiladha tahun ini yang mana kesemua petugas menghantar sumbangan terus ke rumah setiap penerima.

“Majoriti daripada penerima merupakan individu yang tidak pernah mendapat sumbangan daging korban sempena Aidiladha sebelum ini. Setiap daripada mereka menerima daging seberat 1.5 kilogram berserta kek,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Kasih hingga ke hujung nyawa. Hanya kerana sayangkan isteri, seorang lelaki terpaksa ‘mengurung’ isterinya dengan mengunci pintu jeriji rumah bagi memastikan keselamatan insan tersayang itu terjaga.
  • JOHOR BAHRU - Nasib seorang tukang jahit yang disahkan menghidapi kanser tiroid tahap empat sejak empat bulan tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila suaminya, Mohd Nasir Mat Jusoh,45, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat koma akibat mati otak berpunca daripada serangan asma.
  • TUMPAT - 'Hanya pada abang kandung tempatnya menumpang kasih', itulah yang berlaku kepada Mohd Zalmi Salleh, 37, semasa bertarung nyawa menanggung derita penyakit apendiks, gaut dan tiroid.
  • PASIR PUTEH - Seorang pesakit kronik mula merindui kasih sayang seorang ibu kandung yang tidak dirasainya sejak 30 tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.