PONTIAN - Keadaan sungai yang dipenuhi dengan rumput tebal dikhuatiri menyebabkan berlaku banjir kilat ketika musim hujan dan air pasang besar di empat kampung berdekatan.  

Empat kampung tersebut ialah Kampung Parit Archong, Kampung Parit Kerimon, Kampung Parit Stan dan Kampung Parit Hasan.

Kebimbangan penduduk ada asasnya memandangkan sistem pengairan keempat-empat kampung berhubung antara satu sama lain dan disalirkan ke sungai utama iaitu Sungai Besar.

Penduduk, Nadzri Mohd Noor, 38, berharap kaedah pengurusan lebih baik bagi membolehkan aliran air bertakung dan tidak mengalir terutama ketika hujan.

Katanya, masalah air bertakung dan tidak mengalir ketika hujan merupakan antara faktor berlakunya kejadian banjir kilat dan banjir termenung di sini.

Akibatnya bukan sahaja menyusahkan penduduk, tetapi pekebun kelapa sawit turut menanggung kerugian kerana tidak dapat memungut hasil akibat kawasan kebun digenangi air banjir.

“Masalah utama dihadapi penduduk di sini ialah aliran air dari sistem perparitan tidak mengalir dengan baik.

“Bila hujan lebat terjadilah banjir kilat sebab air tidak lepas. Akibatnya air sungai akan melimpah ke kawasan rumah penduduk dan kebun berhampiran,”katanya.

Saiful Amri Suloh, 32, berkata, penduduk memaklumkan sudah lebih tiga minggu kawasan kebun berdekatan sungai dinaiki air kerana aliran air sungai tersekat dengan rumput tebal.

Katanya, pekebun terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat mengeluarkan hasil pertanian seperti pisang dan kelapa sawit.

“Kawasan di sini kerap alami banjir. Penduduk berharap agar pemantauan dilakukan ke atas sungai bagi mengelak banjir kilat berlaku di kawasan kediaman dan kebun penduduk.

“Kerja-kerja pembersihan dan menggali semula sungai perlu dilakukan segera,” katanya.