MUAR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyumbang cermin mata kepada 39 pelajar mempunyai masalah penglihatan dan empat unit alat bantuan mengajar kepada empat buah sekolah sekitar Muar, Johor, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman membabitkan penerima sumbangan terdiri daripada pelajar kurang berkemampuan berdasarkan rekod diperolehi daripada pihak sekolah.

Dalam kenyataan dikeluarkan LHDN, lembaga itu berharap sumbangan sebegitu dapat meningkatkan tumpuan dan motivasi pelajar tersebut mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

“LHDN turut berharap agar program seumpama ini mampu menerbitkan kesedaran dalam kalangan pelajar betapa pentingnya aspek penjagaan mata sebagai deria penglihatan utama.

“Sebelum ini LHDN memberikan sumbangan cermin mata kepada 150 orang pelajar kurang berkemampuan di kawasan Bachok dan Tumpat, Kelantan serta 44 buah alat bantuan mengajar kepada sekolah serta Jabatan Pendidikan Daerah di Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pulau Pinang,” katanya kepada Sinar Harian.