JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh, Batu Pahat hari ini.

Meskipun hujan lebat sejak pagi tadi, ia tidak mematahkan semangat baginda Tuanku untuk melawat semua mangsa banjir di lokasi tersebut.

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa hampir 30 minit bertanyakan khabar serta meninjau persekitaran pusat pemindahan itu walaupun cuaca hujan dengan mengenepikan segala protokol.

Mereka yang berada di pusat pemindahan bagaikan tidak percaya melihat keberangkatan baginda malah tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Sultan Ibrahim.

Sultan Johor turut berkenan melawat tempat penyediaan makanan di pusat pemindahan itu dan baginda Tuanku juga bertanyakan menu makanan yang disediakan kepada mangsa-mangsa banjir.

Pusat pemindahan tersebut dibuka pada Jumaat lalu, selepas dua kawasan penempatan iaitu Kampung Sungai Suloh dan Kampung Sungai Ayam di daerah Batu Pahat dilanda banjir kilat.

Pada masa ini, seramai 106 mangsa banjir membabitkan 43 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.