JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran Pelan Induk One Bukit Senyum, di sini, semalam.

Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Pecah Tanah Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Berangkat hadir, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

One Bukit Senyum merupakan projek pembangunan bercampur ikonik yang menampilkan hotel dan kediaman terkenal lima bintang, pusat membeli belah mewah, pangsapuri perkhidmatan dan bangunan pejabat gred A yang dibangunkan oleh pemaju hartanah, Astaka Holdings Limited.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings Limited, Datuk Zamani Kasim berkata, One Bukit Senyum adalah antara komponen dalam transformasi bandar raya Johor Bahru.

Menurutnya, 71 peratus unit kediaman mewah dan ikonik iaitu ‘The Astaka’ sudah dijual setakat ini, manakala pembinaannya telah memasuki tingkat 36 dan 37 bagi menara A dan B dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun 2017.

“Projek ini akan merangsang pembangunan di negeri ini kerana selaras dengan visi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam mengubah Johor Bahru menjadi bandar raya Malaysia yang menonjol selepas Kuala Lumpur.

“Tambahan pula, Johor berdekatan dengan Singapura yang mana memberikan kita kelebihan unik dan tidak terdapat pada negeri lain,” katanya, di sini, semalam.

Zamani berkata, One Bukit Senyum berkeluasan lantai kasar 6.3 juta kaki persegi, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) iaitu RM5.4 bilion.

“Kami berterima kasih dengan kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan khususnya Sultan Johor, Menteri Besar, Kerajaan Johor, Iskandar Malaysia dan Kerajaan Persekutuan.

“Menjadi misi kami untuk menawarkan pelan induk yang ikonik, moden, pintar, hijau dan selamat sekali gus berkait dan bersesuaian dengan perubahan permintaan umum,” katanya.

Beliau berkata, Astaka Holdings Limited percaya One Bukit Senyum bukan setakat mentransformasikan bandar raya Johor Bahru sahaja, malah turut meletakkan bandar raya ini sebagai metropolis utama di rantau ini.

Mengulas mengenai Menara MBJB, Zamani berkata, ibu pejabat MBJB akan berpindah ke bangunan baharu yang menampilkan 15 tingkat menara pejabat dalam kawasan One Bukit Senyum pada 2019.