TANGKAK - Teka-teki kehilangan suaminya yang tidak pulang makan tengahari di rumah dan menjemput anak dari sekolah seperti kebiasaan terjawab apabila lelaki itu ditemui mati dalam sebuah bangsal di kebun kelapa sawit, di Sagil, di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Sam Peng Kok, 46, ditemui mati oleh isterinya selepas gagal dihubungi sejak tengahari tadi.

Katanya, mangsa yang merupakan penternak ayam yang terletak di kawasan ladang berkenaan sepatutnya pulang ke rumah sekitar jam 12.30 tengahari untuk makan dan menjemput anaknya dari sekolah, namun tidak berbuat demikian menyebabkan isteri mangsa telah menghubungi telefonnya beberapa kali.

"Bagaimanapun, panggilan tersebut gagal diterima menyebabkan suri rumah berusia 42 tahun itu kemudiannya nekad pergi ke ladang tempat kerja mangsa yang terletak di Sagil, di sini.

"Namun, sebaik tiba, wanita itu terkejut apabila menemui kesan darah yang terdapat di kaki lima bangsal, di situ, sekaligus bertindak menghubungi salah seorang rakan baik mangsa  bagi meminta bantuan ekoran pintu bangsal tersebut berada dalam keadaan terkunci," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, rakan mangsa yang tiba tidak lama kemudian telah membuka pintu terbabit dan terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah di beberapa bahagian muka.

"Rakan dan isteri mangsa kemudian bertindak menghubungi polis sekitar jam 3 petang tadi. Hasil siasatan awal, kita percaya, mangsa telah dibunuh antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengahari tadi di perkarangan bangsal ini.

"Selain itu, punca kematian mangsa juga dipercayai akibat dipukul dengan objek keras di kepala menyebabkan berlaku pendarahan di bahagian mulut dan hidung. Setakat ini, polis mengesyaki suspek utama adalah pekerja mangsa yang merupakan warganegara Indonesia berikutan dia tiada di tempat kejadian sebaik kes ini dilaporkan.

"Bagaimanapun, maklumat suspek belum diperolehi secara tepat ekoran isteri mangsa memaklumkan yang suspek baru sahaja bekerja  dengan suaminya itu selama tiga hari," katanya.

Mohad Idris berkata, usaha menjejaki suspek kini sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.