JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan melaksanakan gerak gempur Operasi Catut 5.0 ke atas setiap rangkaian perniagaan di negeri ini, sejajar dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bermula 1 September lalu.

Timbalan pengarahnya, Aris Mamat berkata, operasi penguatkuasaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Johor itu akan dilakukan terhadap sektor pengilangan, pengimportan, pengedaran, pemborongan dan peruncitan.

Katanya, operasi bertujuan menggerakkan pemantauan harga barangan dan perkhidmatan secara intensif di seluruh negeri sejak 8 Ogos lalu untuk melihat perubahan harga sebelum dan selepas pelaksanaan SST.

“Kementerian ada rekod harga barang di tiga peringkat iaitu pengilang, pemborong dan peruncit.

“Kita boleh buat perbandingan untuk lihat sejauh mana  SST beri kesan kepada harga di peringkat hiliran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melaksanakan pemeriksaan di Super Food Specialist (M) Sdn Bhd di Permas Jaya, di sini, semalam.

Aris berkata, Operasi Catut 5.0 itu fokus pada ketidakpatuhan ke atas undang-undang dikuatkuasakan.

“Antaranya perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah, penandaan harga, petunjuk atau gambaran yang mengelirukan serta pengeluaran resit atau invois belian.

“Peniaga dikesan menaikkan harga akan diberikan notis untuk kemukakan justifikasi dan penjelasan mengenai punca kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP Johor turut membuka bilik gerakan yang beroperasi sehingga jam 10 malam mulai 1 September lalu bagi memudahkan pengguna membuat aduan dan pertanyaan.

Katanya, denda dan penalti berat akan dikenakan ke atas peniaga yang ingkar.

“Peniaga diingatkan supaya tidak mengenakan SST ke atas barangan dan perkhidmatan terutama melibatkan stok sedia ada dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 0 peratus,” katanya.

Aris berkata, sebanyak 5,000 premis terdiri daripada sektor pengilang, pengedaran dan pemborong melibatkan 119,000 pelbagai jenis barangan harian pengguna dalam gerak gempur Operasi Catut 5.0.

“Setakat ini kita dah terima 25 aduan di Johor mengenai kenaikan harga barang, tapi bukan semua itu daripada kita. Ada sebahagiannya telah diserahkan kepada kastam.

“Aduan tersebut berkisar kenaikan caj perkhidmatan 6 peratus,” katanya.