JOHOR BAHRU - Rakyat negeri ini diseru memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan negeri baharu tanpa mengira perbezaan latar belakang dan fahaman politik mereka sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya mempunyai pelbagai perancangan dalam memastikan negeri ini terus berkembang maju di masa depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri membuat garis panduan dalam melaksanakan perancangan yang akan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Pembangunan yang dirancang untuk ini tidak memberi fokus hanya kepada satu kawasan seperti selatan Johor sahaja, tetapi keseluruhan negeri.

“Kerajaan telah kenal pasti beberapa rancangan mega yang bukan sahaja kesinambungan pentadbiran terdahulu, tetapi juga idea dan ilham pentadbiran baru.

“Pembangunan mega ini dicetuskan kerajaan baru yang mana ia terdiri daripada ahli-ahli Pakatan Harapan (PH),” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Bersama Pemimpin anjuran Parti Bersatu Johor Bahru.

Osman berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri sokongan semua pihak dapat memberi semangat kepada kerajaan negeri untuk melakukan yang terbaik.

“Walaupun kita mempunyai fahaman politik yang berbeza, tetapi sebagai rakyat Johor, kita perlu bersatu dan menyokong pentadbiran sedia ada.

“Jika itu dapat dilakukan, saya yakin Johor akan terus berada di hadapan berbanding negeri lain di Malaysia,” katanya