JOHOR BAHRU - Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) yang bakal diadakan bermula 6 Oktober ini mendapat tajaan RM2.15 juta.

Kejohanan kali kelapan itu akan berlangsung selama lapan hari di Stadium Hoki Taman Daya, di sini mendapat tajaan daripada kerajaan negeri berjumlah RM500,000 dan pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.

Antara yang memberikan sumbangan penajaan adalah RITZ Corporation Holding Berhad dan Astaka Padu Sdn Bhd masing-masing RM200,000 sementara Johor Corporation, JBB Builders (M) Sdn Bhd, UM Land dan Tenaga Nasional Berhad masing-masing RM100,000.

Selain itu, SAJ Holdings Sdn Bhd, KH Land Sdn Bhd, The Zon dan Iskandar Waterfront Holding Berhad, Genting Berhad masing-masing menyumbang RM50,000 dan Berjaya Times Square pula menyumbang RM30,000.

Khuzzan dan Tunku Abdul Rahman bersama barisan penaja yang memberikan sumbangan dalam kejohanan SOJC.

Sumbangan tersebut diserahkan penaja kepada Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Pegawai Kewangan negeri, Datuk A Rahim Nin; Datuk Bandar Johor Bahru, Amran Rahman dan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor (PHJ) yang juga Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Majid Manjit Abdullah.

Dalam pada itu, Mohd Khuzzan berkata, pada kejohanan kali ini sebanyak enam negara akan berentap dalam SOJC iaitu Malaysia, New Zealand, Australia, India, Great Britain dan Jepun.

"Harapan saya pasukan Malaysia akan berjuang habis-habisan dan kita sasarkan mereka untuk menduduki tempat kedua pada kejohanan kali ini.

“Persediaan dan latihan sudah dilakukan dan semuanya sudah berada di peringkat akhir. Saya harap pasukan kita (Malaysia) mampu melakukan yang terbaik," katanya dalam sidang media.

Menurutnya, terdapat banyak permohonan untuk menyertai SOJC kali ini namun pihaknya terpaksa menghadkan enam pasukan sahaja.