KLUANG- Sekolah Kebangsaan (SK) Punan, dekat sini ditutup semula bermula hari ini berikutan laluan utama memasuki ke sekolah berkenaan dinaiki air sejak petang Khamis lalu.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kluang, Shaharudin Basri Ibrahim berkata, penutupan sekolah terpaksa dilakukan setelah 11 guru sekolah itu tidak dapat masuk pada pagi tadi ke sekolah.

"Ini kerana laluan masuk ke sekolah dinaiki air dan guru-guru terkandas di laluan jalan ladang kelapa sawit. Laluan utama ke sekolah tersebut tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan kerana merbahaya.

"Pada masa ini semua guru telah diarahkan mendaftar diri di sekolah yang terdekat iaitu SK Batu Tiga bermula hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shaharudin Basri berkata, berdasarkan maklumat terkini daripada penduduk di Kampung Punan  memaklumkan air sungai telah melimpah dan naik ke atas jalan raya di kampung tersebut.

Katanya, disebabkan keadaan itu sekolah tidak dapat dibuka hari ini berikutan kedudukan sekolah adalah lebih kurang 200 meter daripada sungai.

"Bagaimanapun, akibat kenaikan air sungai di kawasan berhampiran turut menyebabkan dua sekolah terputus hubungan iaitu, SK Ladang Mutiara dan SK Seri Sedohok," katanya.

Katanya dalam masa sama, pemantauan sedang dilakukan terhadap laluan ke SK Ladang Mutiara dan SK Seri Sedohok, juga di Kahang dekat Kluang, yang turut dinaiki air.

"Jalan penghubung iaitu Jalan Tereh/Selai ke SK Ladang Mutiara terputus menyebabkan 11 guru dan tiga anggota kumpulan pelaksana (AKP) terkandas dan kini melapor diri ke SK Kahang.

"Manakala, dua guru lagi bersama seorang AKP yang terkandas melapor diri di SK Ladang Tereh.

"SK Ladang Mutiara bagaimana pun masih beroperasi seperti biasa dengan empat guru berada di sekolah yang tinggal di kuarters sekolah," katanya.

Shaharudin Basri berkata, mengenai SK Seri Sedohok hubungan tiga jalan ke sekolah berkenaan terputus pada sejak kelmarin dan menyebabkan tiga guru terkandas.

Katanya, guru yang terkandas itu kemudiannya melaporkan diri di SK Kahang.

"Seramai 11 guru bersama enam AKP berada di sekolah dengan kerana menggunakan motosikal melalui laluan kecil di ladang untuk ke sekolah dan kini sekolah beroperasi seperti biasa," katanya.

Tambahnya, pemantauan dari semasa ke semasa telah dilaksanakan di tiga sekolah yang terjejas.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini keadaan air banjir di laluan utama ke SK Punan semakin meningkat berikutan hujan yang berterusan sejak Khamis lalu.

"Pihak saya akan sentiasa memantau di tiga sekolah yang terjejas ini dan tindakan serta merta akan diambil sekiranya keadaan bertambah teruk," katanya.