BAKRI - Kesepakatan dan kerjasama di kalangan warga mukim Ayer Hitam, di sini, terus diperkukuh melalui aktiviti penanaman pokok tenggek burung di sebuah hutan simpan yang pernah terbakar tiga tahun lalu.

Penghulu Mukim Ayer Hitam, Mohd Afezan Yahya berkata, penglibatan penduduk kampung dalam aktiviti itu bertujuan memulihara dan memelihara alam sekitar, sekali gus memupuk semangat cintakan alam sekitar.

“Aktiviti ini merupakan projek Water for Life yang diasaskan oleh pihak Coca-cola Malaysia sebelum diberi kepercayaan kepada Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakannya.

“Ia kemudian membentuk kerjasama dengan pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) sebelum memilih hutan simpan paya gambut yang terdapat dalam mukim ini untuk dipulihara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Afezan, meskipun projek berkenaan mampu dilaksanakan oleh sukarelawan atau mana-mana penuntut, namun pihaknya lebih memerlukan penglibatan penduduk bagi menjayakan misi tersebut.

“Saya berpendapat bahawa ini adalah kawasan kita yang perlu dijaga, jadi peranan daripada penduduk sangat penting.

“Kerjasama ini bukan sahaja merapatkan ukhuwah, malah turut menyalurkan ilmu mengenai fungsi pokok di hutan simpan paya gambut ini,” katanya.

Jelas Mohd Afezan, kebakaran besar yang memusnahkan ratusan pokok bakau di situ sebelum ini dikhuatiri boleh memusnahkan kepentingan hutan terhadap mereka kelak.

“Saya memilih pokok tenggek burung berbanding pokok buah-buahan bagi memberikan kelainan. Rimbunan pokok ini sebenarnya sangat sesuai dijadikan sebagai habitat untuk pelbagai jenis burung sesuai dengan namanya.

“Selain memulihkan hutan simpan paya gambut ini, ia juga menceriakan hutan simpan dengan kehadiran pelbagai burung,” katanya.

Mohd Afezan berkata, bagi merealisasikan misi itu, dia bersama 35 individu dan sukarelawan mukim yang terdiri daripada penduduk kampung bekerjasama menebang semak samun yang tumbuh di kawasan berkenaan.

“Hutan simpan ini dah tiada pokok selepas tragedi kebakaran itu. Jadi agak merugikan sekiranya perkara itu tidak diambil perhatian untuk dijaga semula.

“Objektif projek ini boleh dikatakan tercapai apabila sepanjang berlangsungnya aktiviti, kami berjaya memupuk semangat cintakan alam sekitar selain mengetahui kepentingan paya bakau untuk manusia,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 200 anak pokok tenggek burung ditanam sebelum 800 lagi bakinya menyusul.

Fasa kedua penanaman akan diteruskan menjelang Mac nanti selepas 1,000 anak pokok fasa pertama yang ditanam menunjukkan hasilnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) menggesa kerajaan negeri dan jabatan berkaitan menyiasat aktiviti pembalakan di Hutan Simpanan Dara Hulu Terenggun, di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.