• Sentuhan spa pelajar istimewa, buktikan mereka ada bakat Antara pelajar lelaki yang mengikuti kursus refleksologi menunjukkan kemahiran masing-masing mengurut kaki rakan-rakan mereka sendiri.
1 /

Masyarakat hari ini semakin obses dengan soal penjagaan dan keadaan fizikal diri dan pastinya ramai yang sudah acap kali mengunjungi pusat rawatan kecantikan atau spa untuk tujuan itu biarpun terpaksa berhabis wang ringgit demi mendapatkan perkhidmatan yang dihajati.

Mana tidaknya, pasti terasa nikmat apabila membiarkan fikiran melayang dengan tangan atau badan diurut dan kaki direndam dalam larutan terapi bunga-bungaan apatah lagi tatkala setelah penat bekerja.

Namun, bagaimana pula agaknya jika jari-jemari yang membuat urutan badan, kaki, rawatan muka dan dandanan rambut itu milik remaja istimewa?

Apakah mereka berupaya melaksanakannya sesempurna mereka yang terlatih dan dilahirkan normal?

Tembok itu cuba dipecahkan oleh Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura, Kulaijaya, satu-satunya sekolah program pendidikan khas di Johor yang memberi peluang kepada pelajar istimewa berusia 16 hingga 19 tahun turut serta dalam arus pendidikan perdana negara.


Belajar urus perniagaan sendiri

Sekolah yang menempatkan seramai 158 pelajar masalah penglihatan, masalah pendengaran dan pembelajaran mula belajar kemahiran spa seperti refleksologi meliputi urutan kaki, tangan dan badan, penjagaan muka dan dandanan rambut muda kepada pelajar istimewanya sejak dua tahun lalu.

Mulai Julai tahun ini pula, sekolah itu mengorak langkah baru apabila turut mengadakan Program Perintis 5nemophia kepada 22 pelajarnya selepas mereka tamat mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai ujian keupayaan mereka mengurus perniagaan sendiri yang terbahagi kepada dua kumpulan.

Menurut Guru Penolong Kanan 1, Zaidah Mahadi, kemahiran spa dan kecantikan yang ditawarkan itu dipercayai satu-satunya sekolah pendidikan khas yang dilaksanakan sebagai membuktikan kekurangan bukan halangan untuk meningkatkan kemahiran.

“Kesemua kemahiran ini membolehkan mereka memiliki kelebihan setelah tamat pelajaran yang sekurang-kurangnya boleh menambahkan pendapatan sampingan pada masa akan datang. Syukur setelah dua tahun dilaksanakan, bakat dan kelebihan mereka dapat ditonjolkan dan mulai mendapat perhatian.

“Bahkan, tenaga mereka kini mulai memenuhi jemputan dalam pelbagai program yang diadakan di sekolah lain termasuk Hari Ibu Bapa, Hari Kantin, Hari Kokurikulum dan lain-lain serta pusat membeli-belah sekitar Kulaijaya.

“Secara tidak langsung, mereka boleh menjana pendapatan sampingan masing-masing. Dengan duit yang dikumpul, mereka dapat membeli barang keperluan mereka, maklumlah bukan semua berasal dari kalangan berada.

“Tidak kurang juga, oleh sebab sekolah kami satu-satunya melahirkan tenaga yang berkemahiran dalam bidang ini, mereka sering ‘dipinang’ lebih awal oleh rata-rata majikan yang sedia maklum tentang kemahiran yang dimiliki biarpun mereka belum tamat belajar,” katanya.


Ada sudah dapat tawaran kerja

Ketika kunjungan ke Reflexology Edu-Tourism One Stop Centre di SMPKV Indahpura, Kulaijaya beberapa pelajar menunjukkan kepakaran menggunting, mendandan rambut, mencuci rambut, mengurut kaki dan tangan serta membuat rawatan muka kepada wartawan Sinar Harian.

Sementara itu, pelajar bermasalah penglihatan, Kamarul Al Muhaimin Manan, 19, yang berasal dari Melaka berkata, dia baru sahaja menduduki peperiksaan SKM dan kini telah ada pihak menawarkannya bekerja sebagai tukang urut refleksologi.

“Buat masa ini saya sedang memikirkan tawaran berkenaan. Lagipun saya sedang mengikuti kursus yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk memantapkan pengalaman menguruskan perniagaan,” katanya yang bercita-cita menjadi ahli refleksologi berjaya suatu hari nanti.

Pengalaman yang sama turut dikongsi pelajar bermasalah pendengaran, Siti Nurbaya Mohd Hoe, 18, yang berasal dari Pahang. Dia amat gembira kerana berpeluang mendapat bimbingan dan latihan di sekolah tersebut.

“Pada awalnya agak sukar memahami pembelajaran guru. Syukur, kawan-kawan saya banyak membantu. Tahun ini saya bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia dan saya mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk tunjuk kepada masyarakat bahawa insan istimewa mampu berjaya,” ujarnya yang mengambil kursus dandanan rambut selain menjadi salah seorang pelajar harapan sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, guru subjek pendandan rambut muda, Siti Zulikah Hussin berkata, pada awalnya agak mencabar juga apabila diberi tanggungjawab mengajar golongan istimewa ini apatah lagi pergerakan dan pemahaman mereka agak lambat.

“Untuk mengelakkan mereka berasa bosan, kami perlu menyediakan alat bantu mengajar untuk menimbulkan rasa seronok. Biarpun mereka ‘istimewa’, sebenarnya tersembunyi bakat dan kemahiran mereka yang tersendiri,” katanya.