PONTIAN - 'Memang ada nama bakal ketua kampung yang dihantar kami (PH) terdapat dalam senarai nama ketua kampung yang tular itu,' kata Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman.

Ketua Pemuda Amanah negeri itu menegaskan pihaknya masih menunggu nama-nama ketua kampung yang dari pejabat daerah yang akan dilantik dalam masa terdekat.

Menurutnya, senarai nama ketua kampung yang tular di media sosial sejak dua hari lalu itu menimbulkan pelbagai persoalan kerana senarai itu bocor sebelum lantikan sebenar dibuat.

“Saya juga sudah dapat info daripada Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Dzulkefly Ahmad bahawa senarai nama ketua kampung yang akan dilantik sudah diserah kepada pejabat daerah.

“Nama yang berjaya mendapat jawatan ketua kampung itu akan diumumkan pejabat daerah dalam masa terdekat dalam minggu ini atau minggu depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Taqiuddin berharap agar ketua kampung yang akan dilantik kelak dapat menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.

“Ketua kampung ini diibaratkan seperti wakil rakyat. Mereka perlu menyelesaikan masalah penduduk dan membangunkan kampung.

“Saya juga ingin mengingatkan ketua kampung supaya benar-benar tulus ketika berkhidmat kepada penduduk tanpa mengira warna parti, kaum, bangsa mahupun agama,” katanya.

Menurutnya, kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada ketua kampung yang bakal dilantik terutama di kawasan Dun Pulai Sebatang.

“Saya tidak mahu ketua-ketua kampung di zaman PH ini hanya menyebelahi orang kampung PH sahaja. Khidmat yang diberikan perlu menyeluruh tidak kira orang kampung itu dari BN atau Pas. Ketua kampung perlu adil,” katanya.