MERSING - [VIDEO] Sebuah keluarga di Kampung Cik Wok tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka diami musnah dalam kejadian kebakaran, awal pagi tadi.

Mangsa, Saripah Md Dali, 43 memberitahu dia tidak dapat menyelamatkan apa-apa ketika tiba di rumahnya.

"Saya dapat panggilan dalam jam 8.15 pagi ketika saya di sekolah, memang terkejut.

"Saya terus bergegas balik dan tengok api dah marak sangat. Memang tak dapat selamatkan apa-apa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Cik Wok, Sri Pantai, hari ini.

Saripah yang bekerja sebagai pembantu pejabat di SMK Anjung Batu baru mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Jumaat Ramli, 33, Disember lalu.

Namun dia bersyukur tiada yang cedera dalam kejadian itu.

"Syukur tiada siapa di rumah. Ketiga-tiga anak saya yang berusia 6 hingga 11 tahun bersekolah dan suami pun keluar bekerja," katanya.

Saripah sekeluarga bakal menumpang sementara di rumah ibunya, Zaini Raub, 62 di Batu 4.