JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akui kelantangannya bersuara menimbulkan rasa tidak senang segelintir pihak.

Tunku Ismail berkata, beliau percaya menjadi tugasnya dan institusi Diraja Johor untuk bercakap benar.

“Berdasarkan prinsip, saya tidak pernah mengambil jalan mudah. Saya percaya ia adalah tugas kami untuk bercakap benar dan tanpa mengira akibat dan kesannya.

“Nampaknya dengan saya bersuara lagi sekali membuat setengah pihak kurang senang,” katanya sebagaimana dipetik berkata menerusi Facebook rasminya, semalam.

Mengulas kenyataan seorang penulis, beliau  dan keluarganya berisiko menjadi mangsa serangan pelbagai pihak termasuk direndahkan statusnya kerana terlibat dalam arena politik, Tunku Ismail berkata, beliau telah mendengar kata-kata sama sebelum ini.

“Saya telah mendengar kata-kata yang sama seperti itu sebelum ini. Sama ada kami di 'whacked' atau di ‘clobbered', ia adalah perkara kecil bagi saya.

“Apa yang penting kepada saya adalah rakyat saya. Status saya hadir dari khidmat saya kepada rakyat dan bercakap benar adalah salah satu tugas saya,” katanya.

Beliau berkata, status sebenar seseorang termasuk dirinya yang hadir dari keluarga Diraja Johor bukan bergantung kepada gelaran yang disandangnya tetapi bagaimana ia dipandang oleh rakyatnya.

“Status saya hanya 'jatuh' jikalau saya gagal berkhidmat kepada mereka iaitu rakyat saya - dan dalam hal ini, saya percaya saya tidak gagal.

“Kepada penulis tersebut, ingin saya katakan, anda tidak perlu bimbang dengan ‘status’ saya kerana saya akan baik-baik saja,” katanya.

Tunku Mahkota Johor turut mengulas kenyataan penulis terbabit bahawa beliau harus terima hakikat dirinya sedang dipantau kerana aktif dalam media sosial.

Katanya, ia bukan perkara memantau apa yang ditulis dalam laman sosial, sebaliknya melibatkan pemantauan telefon peribadi, e-mel, dan komunikasi peribadi.

“Saya rasa 'penulis' ini pun tidak suka jikalau diletakkan di bawah pemerhatian yang sama. Sedangkan saya ahli kerabat diraja boleh diintip, apatah lagi orang awam Malaysia yang lain?

“Saya bukan bercakap kerana ingin menentang kerajaan. Polisi Johor adalah menyokong mereka yang mentadbir negara. Bagaimanapun, ia tidak boleh mengambil sebagai perkara yang remeh. Kami mesti sentiasa berwaspada dan bersuara apabila ada perkara salah telah berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kata-katanya tidak selalu mudah ditelan, tetapi sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kepentingan negara kerana Malaysia baharu memerlukan lebih ramai pemimpin yang tidak takut bercakap benar.

“Ia adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan kesilapan kita yang lalu.

"Saya berdoa agar kita semua boleh maju ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.