JOHOR BAHRU - Akibat tersilap langkah, seorang ibu tunggal akhirnya menanggung hutang lebih RM14,000 dengan keluarga terdekat selepas diperdaya sindiket pinjaman wang.

Mimpi ngeri wanita dikenali sebagai Peng, 29, itu bermula Mei tahun lalu, selepas terdesak memerlukan wang untuk membayar sewa bilik dan bil utiliti jumlah keseluruhan kira-kira RM3,000.

Menurutnya, pada masa itu, dia telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang ah long atau peminjam wang yang mahu membantunya menyelesaikan masalah kewangan terbabit.

“Pada masa itu, saya memang terdesak memerlukan wang untuk membayar sewa dan bil lalu tidak berfikir panjang bersetuju untuk membuat pinjaman terhadap orang tersebut. 

“Saya kemudiannya diminta untuk menyerahkan maklumat diri dan dia meminta slip gaji namun saya tidak mempunyai slip gaji, lelaki itu meminta saya memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke atas satu akaun seorang wanita,” katanya ketika ditemui di Kelab Media Cina, Jalan Maju, di sini, semalam.

Peng yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini berkata, dua hari berikutnya dia dimaklumkan pinjaman sebanyak RM8,000 telah lulus tetapi hanya RM100 sahaja yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya.

Katanya, sindiket tersebut sekali lagi meminta butiran peribadi miliknya serta alamat rumah dan gambar keretanya.

“Lepas itu, mereka cakap dokumen saya masih belum lengkap lalu mengarahkan saya memasukkan lagi RM1,000 untuk urusan dokumen. Selepas itu mereka cakap duit dah masuk tetapi bila saya periksa ia masih kosong.

“Saya menghubunginya sekali tetapi diminta lagi saya membayar wang RM2,000. Katanya proses masih tergantung dan meminta saya memasukkan lagi RM4,000 sebelum diminta RM16,000 yang saya masukkan melalui empat transaksi untuk proses tersebut,” katanya yang memberitahu semua wang itu dimasukkan antara 11 hingga 13 September lalu.

Jelasnya, wang tersebut merupakan hasil daripada simpanan miliknya serta pinjaman daripada ahli keluarga serta saudara terdekat. 

“Sekarang ini saya dah tiada apa-apa, saya menyesal sangat kerana tidak meminta pendapat keluarga terlebih dahulu, sekarang saya rugi lebih RM24,000.

“Saya bingung dan tertekan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah pada 14 September selepas rasa tertipu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jason Teoh berkata, pihaknya telah melakukan beberapa rundingan dengan sindiket terbabit namun gagal mencapai keputusan memuaskan.

Menurut Jason, dia juga meminta pihak polis melakukan siasatan terperinci dan membawa sindiket ini ke muka pengadilan agar kes penipuan ini dibanteras.

Katanya, pihaknya juga telah menerima beberapa kes dengan modus operandi yang sama sebelum ini dan menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan berfikir sebelum membuat sebarang keputusan terutama membabitkan kewangan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAUB - Impian seorang lelaki untuk memegang jawatan sebagai anggota polis musnah selepas dirinya ditipu ejen pengiklan jawatan kosong.
  • KOTA BHARU - Wanita yang tinggal di rumah dipenuhi sampah dan uzur bersama lima anaknya di Kampung Paloh, Pintu Geng, di sini menghilangkan diri selepas kisahnya didedahkan kepada umum.
  • KOTA KINABALU - Polis merampas 1,006.22 gram dadah jenis syabu dengan nilai pasaran kira-kira RM70,000 selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pondo, Pulau Gaya Isnin lepas.
  • ALOR SETAR - Usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas pihak penganjur Karnival Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di sebuah hotel, di sini, menemui jalan buntu.
  • ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah dan syarikat gergasi boleh mengambil tindakan terhadap penganjur Ekspo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 yang diadakan selama dua hari di sebuah hotel, di sini, kerana menggunakan gambar dan logo syarikat tanpa kebenaran.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.