JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sasar 65,000 pekebun kecil berasaskan tanaman getah di negeri ini raih pendapatan bulanan sebanyak RM4,000  menjelang tahun 2020 nanti.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah pendapatan keluarga itu dijangka mampu dicapai menerusi peningkatan harga komoditi getah daripada RM5.50 sekilogram kepada RM17.31.

“Kita mempunyai pelan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah pekebun kecil yang mana sekarang ini hanya mampu dicapai sekitar RM1,200 sebulan sahaja.

“Kemungkinan eleman keusahawanan akan digabungkan dengan kerja-kerja pekebun untuk membantu mereka meraih lebih pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dzulkefli berkata, kerajaan negeri turut menerima usaha Kerajaan Persekutuan yang mahu mewujudkan Sekretariat Mekanisme Penetapan Harga Getah.

“Kita menerima perkara yang diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar minggu lalu.

“Tiada masalah untuk ikut apa yang diusulkan Kerajaan Pusat kerana kepentingannya adalah untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Johor memiliki keluasan perusahaan getah kira-kira 34,583 hektar yang diusahakan sendiri pekebun kecil, tidak termasuk kawasan estet atau ladang besar.

“Sebanyak 93 peratus hasil keluaran getah adalah daripada pekebun kecil ini.

“Namun hanya tujuh peratus sahaja disumbangkan perusahaan ladang membabitkan keluasan 100 hektar ke atas," katanya.