TANGKAK - Rutin harian seorang bapa tetap diteruskan meskipun terpaksa menahan sakit selepas disahkan menghidap barah leher.

Syafiee Yunus, 35, berkata, tanggungjawab menghantar anak ke sekolah masih tetap dilakukan bagi memastikan anak lelaki yang berusia 8 tahun dan puteri bongsu yang berusia 6 tahun dapat pergi dan balik ke rumah seperti biasa.

Menurutnya, meskipun terpaksa menahan sakit sepanjang hari, dia tetap melakukan perkara tersebut dengan tabah kerana tidak mampu mengupah orang.

“Pada sebelah pagi sakit tidak terasa sangat dan saya tetap gagahkan diri hantar dan jemput anak dari sekolah. Menjelang tengah hari membawa ke malam, sakitnya seperti jarum mencucuk-cucuk.

“Malah, tidur saya juga terganggu apabila sering sesak nafas ditambah leher kanan semakin bengkak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Meranti Sundai, Bukit Gambir, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Syafiee berkata, dia bersyukur kerana jarak rumah dengan sekolah anaknya tidak jauh.

“Sebelum disahkan kanser, saya buat kerja kebun dan potong rumput dengan pendapatan RM300 sebulan manakala isteri, Siti Hazzamnah Paimon, 33, pula kerja kilang di Sengkang dengan gaji RM1,300 bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga.

“Namun, akhirnya saya berhenti bekerja selepas penyakit yang telah berlarutan sejak sekian lama ini terus membebani saya,” katanya.

Menyingkap kembali bagaimana dia dikesan menghidap barah, Syafiee berkata, pada mulanya, dia hanya mengalami sakit kepala dan setiap kali perkara itu berlaku dia mengambil ubat bagi meredakannya.

“Saya beranggapan sakit kepala yang dialami cuma biasa tetapi ia berlarutan sehinggalah pada awal September lalu. Keadaannya semakin teruk apabila pandangan mata menjadi kabur ketika melakukan kerja kebun.

“Suatu hari ketika mahu menghabiskan kerja meracun di kebun tiba-tiba pandangan mata jadi kabur dan saya bergegas pulang ke rumah memberitahu isteri mengenai keadaan saya yang kemudiannya menghantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu dia mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dengan menjalani beberapa rawatan termasuk saringan penyakit batuk kering dan buah pinggang tetapi ujian negatif.

“Saya kerap kali ke HPSF untuk mendapatkan rawatan susulan bagi mengesan punca sebenar dan penyakit yang saya hidapi.

“Pada awal Disember 2017 saya menjalani pembedahan kecil bagi mengetahui penyakit sebenar,” katanya.

Katanya, meskipun telah disahkan menghidap barah, dia tabah dan kuat bagi meneruskan kehidupannya bersama keluarga.