• Mohamed Khaled (kanan) ketika meninjau keadaan rumah mangsa. Mohamed Khaled (kanan) ketika meninjau keadaan rumah mangsa.
1 /

PASIR GUDANG - Dua keluarga yang tinggal sebumbung hilang tempat tinggal dan musnah harta benda apabila rumah sewa didiami sejak tiga bulan lalu dijilat api dalam kejadian kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran hos gas, pagi semalam.

Surirumah, Anie Tahanan, 32, berkata, kejadian berlaku jam 9.10 pagi apabila anak saudaranya, Sofia Adnan, 14, yang belajar di tingkatan dua ingin memasak mi segera di ruang dapur untuk sarapan pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama tiga orang anak berada di blok bersebelahan kerana sibuk mengurus persiapan bagi penganjuran majlis kebudayaan masyarakat Sabah pada Ahad ini.

“Saya menyedari kebakaran ini selepas terdengar jeritan anak saudara dan adik perempuannya, Norhaya, 30.

Saya difahamkan, ketika Sofia ingin memasak, secara tiba-tiba api dari dapur gas itu menyala dan menyambar pada peralatan lain di situ.

“Ahli keluarga saya cuba memadam kebakaran itu dengan menggunakan air, namun api semakin marak hingga mengakibatkan Norhaya bergegas keluar rumah bersama tiga anaknya untuk menyelamatkan diri.

“Kami kehilangan tempat tinggal selain kemusnahan pelbagai bekalan makanan yang dibeli sempena Aidilfitri. Pelbagai barangan di dapur musnah malah kejadian ini mengakibatkan bahagian lain rumah turut terdapat kesan kebakaran terutama asap melekat di dinding,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kediamannya di Jalan Gaharu 11, Blok D, Flat Taman Rinting, Masai, di sini, semalam.

Pada kunjungan itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi menyampaikan sumbangan berupa wang tunai selain akan memberi bantuan baik pulih rumah serta mencari penempatan sementara. Anie berkata, apa yang membuatkan keluarganya terkilan adalah kejadian itu berlaku pada sambutan perayaan dan selepas beberapa hari kematian nenek kesayangannya berusia 80 tahun di Sabah.

Katanya, dia bersama keluarga adiknya yang bercadang pulang ke kampung untuk menziarahi kubur nenek mereka terpaksa membatalkan perancangan itu buat sementara.

“Kami yang masih sedih dengan kematian nenek di kampung di Sabah pada Hari Raya pertama tidak jangka ditimpa malang apabila kediaman sewa keluarga dijilat api.

“Sebelum berpindah ke sini, kami sekeluarga tinggal di Perak.

“Manakala selepas berhenti kerja di Johor Bahru sebulan lalu, suami saya kerja di Labuan, Sarawak manakala suami Norhaya bekerja di Sampoerna, Sabah namun kami yang sudah selesa di sini, ingin terus tinggal di negeri ini,” katanya.

Difahamkan, buat sementara waktu, keluarga Anie dan Norhaya yang mengalami kerugian kira-kira RM10,000 menumpang di kediaman saudara terdekat di kawasan Masai.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada jam 9.17 pagi semalam.

“Sebuah jentera sampai ke tempat kejadian pada jam 9.28 pagi dan berjaya mengawal api dalam tempoh masa kurang 10 minit.

“Semua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.