JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan memperhalus isu kuil di sebuah tanah milik persendirian yang dirobohkan Khamis lalu, dengan lebih lanjut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi mencari jalan penyelesaian yang munasabah, terbaik dan adil kepada kesemua pihak.

“Kerajaan negeri akan berusaha mencari jalan penyelesaian dan semua pihak diseru untuk memberikan kerjasama yang terbaik dalam menyelesaikannya.

“Memandangkan ini merupakan satu isu serius, kerajaan negeri gesa semua pihak mempamerkan sikap toleransi yang tinggi, bersikap rasional, terbuka dan tidak terburu-buru dalam membuat penilaian terhadap isu ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri menerima berita insiden itu dengan kesal dan bersimpati terhadap apa yang berlaku.

Beliau berkata, berdasarkan rekod kerajaan negeri, kuil tersebut didirikan di atas tapak milik persendirian.

“Pemilikan tanah tersebut didaftarkan pada 1995. Walaupun kuil ini didaftarkan pada 2007, namun ia dibina tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik sah tanah tersebut dan ia dilihat sebagai satu kes pencerobohan.

“Bagaimanapun, pengurusan kuil pernah mengadakan rundingan dengan wakil-wakil rakyat ketika itu serta pihak berkuasa negeri berkaitan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, cadangan penyelesaian segera yang dikemukakan pada ketika itu adalah dengan menawarkan sebidang tanah milik kerajaan negeri sebagai tapak gantian tapak kuil.

Menurutnya, bagaimanapun, cadangan itu tidak dipersetujui pengurusan kuil.

“Kemuncak keputusan kuil yang tidak bersetuju berpindah, kuil tersebut akhirnya dirobohkan pemilik tanah selepas beliau mendapatkan perintah mahkamah pada 31 Julai 2017,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung Kebangsaan DAP, Prof P Ramasamy berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil tindakan awal berhubung pemilikan tanah.

Katanya, ia berikutan kuasa yang dimiliki kerajaan negeri untuk sebarang pemilikan tanah semestinya mampu menyelesaikan masalah seperti yang berlaku itu.