GELANG PATAH - Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM43 juta bagi membina Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) untuk Parlimen Iskandar Puteri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut termasuk pembinaan dua lagi SAKJ di Taman Nusantara dan Taman Pulai Emas, di sini, yang bernilai RM16.175 juta.

Menurutnya, pembinaan kedua-dua SAKJ itu dijangka siap menjelang akhir tahun depan.

“Untuk maklumat juga, di bawah fasa satu hingga empat, kerajaan negeri sebenarnya telah membina lapan SAKJ di Gelang Patah dan kesemuanya telah siap dengan perbelanjaan  RM27.687 juta.

“Kesemuanya untuk memastikan negeri Johor kekal islamik,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Pembinaan SAKJ Taman Nusantara dan SAKJ Taman Pulai Emas bagi Fasa lima di Taman Nusantara, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Abd Razak Mohd Yusoff.

Mohamed Khaled berkata, penyediaan SAKJ yang baharu merupakan usaha yang dijalankan kerajaan negeri bagi memastikan anak-anak Johor bersedia menghadapi cabaran sebagai umat Islam pada masa depan.

“Kita mahu pendidikan agama dijadikan benteng kepada pelbagai pengaruh yang dihadapi khususnya masyarakat Islam yang terdapat dalam Johor,” katanya.

Terdahulu, SAKJ Taman Nusantara apabila siap dapat menampung seramai 920 murid pada satu-satu masa dan SAKJ Taman Pulai emas pula dapat menampung seramai 960 murid dalam satu-satu masa apabila siap kelak.

Berdasarkan pencapaian terdahulu, KPRJ berjaya menyiapkan 97 SAKJ pada fasa satu hingga empat di seluruh Johor dan kini komited memastikan pembangunan SAKJ fasa lima dijalankan dengan baik.