MUAR - Sepasang suami isteri dari Bandar Maharani buntu memikirkan keadaan anak sulung, Siti Nurshahira yang didakwa hilang selepas keluar dari rumah sejak lebih dua minggu lalu.

Tambah membimbangkan, remaja perempuan berusia 23 tahun itu merupakan OKU lemah pembelajaran.

Bapa mangsa, Roslan Esa, 44, berkata, kehilangan anaknya disedari selepas remaja berkenaan meminta izin ke kedai untuk beli barang.

“28 Jun lalu jam 1.30 tengah hari, anak saya beritahu nak ke kedai berhampiran nak beli inai. Bagaimanapun, sehingga jam 2 petang, dia tidak pulang ke rumah.

“Kemudian saya bersama dua lagi anak lelaki cari di sekitar bandar, namun gagal. Kami bimbang kerana keadaan dia yang tidak tahu membaca menyebabkan dia mudah diperdaya sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui.

Menurut Roslan, selepas gagal mengesan anaknya sehingga jam 4 petang, mereka sekeluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Saya dan isteri (Mariati Mohd Hussien) risau keadaan Nurshahira. Dia tak berapa sihat sebab beberapa minggu ni, badannya mudah lesu dan sakit dada sehingga kami terpaksa dapatkan rawatan tradisional untuknya,” ujarnya.

Menurut Roslan, kali terakhir anaknya memakai baju T berwarna kelabu hitam dan berseluar jean.

“Dia tidak membawa sebarang beg mahupun telefon bimbit kecuali kad pengenalan, beberapa not wang ringgit dan sehelai kertas mengandungi nombor telefon. Kertas tu pun kebetulan anak lelaki saya perasan bila lihat Nurshahira menulis sesuatu masa itu,” katanya.

Justeru, dia memohon orang ramai sekiranya ternampak kelibat anaknya untuk segera menghubunginya 011-2075 3358 atau anaknya, Angah di talian 017-694 0052.