BATU PAHAT – Bertahagaan dan Bercuuran, itulah dua perkataan bahasa etnik Banjar yang sering digunakan mereka untuk bertemu dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Itulah konsep dilakukan masyarakat Banjar di Batu Pahat, Johor dan Sungai Besar, Selangor, dalam mengekalkan hubungan persahabatan sesama mereka.

Pengerusi Penaja Persatuan Banjar Batu Pahat, Jaafar Abdul Hamid berkata, pihaknya sentiasa mencari saudara-mara mereka yang berketurunan Banjar terutama di negara ini.

Katanya, sebab itulah Hari Bertahagaan dan Bercuuran diadakan untuk berjumpa dan berkenal-kenalan agar hubungan kekeluargaan tidak akan terputus.

“Mereka berketurunan Banjar berasal dari negeri Banjar Masin yang terletak di Kalimantan, Indonesia dan kebanyakan mereka kini tinggal di Johor, Selangor serta sebahagiannya di Perak.

“Dengan adanya program seperti ini, diharapkan hubungan kekeluargaan tidak akan terputus, selain menggalakkan anak muda meneruskan tradisi dan amalan kami secara turun-temurun.

“Ada anak muda malu mengaku mereka Banjar, malah ada juga sesetengahnya tidak tahu berbahasa Banjar,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Ulung, Sri Medan, yang berjaya mengumpulkan 500 mereka yang berketurunan Banjar.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Banjar Malaysia, Zainal Abidin berkata, program bertahagaan seperti ini memang kerap diadakan, namun di Batu Pahat, Johor, ia merupakan kali pertama.

Katanya, dia mengharapkan agar pertemuan berkenaan bukanlah kali pertama dan juga kali terakhir diadakan, serta berharap ianya akan berterusan dari masa ke semasa.

“Persatuan Banjar Malaysia ini juga pernah mengadakan program seperti ini di Banjar Masin, Indonesia dan dalam masa yang terdekat, akan dilaksana sekali lagi.

“Saya berharap ada penglibatan atau mereka (Banjar di Batu Pahat) dapat pergi sendiri ke Banjar Masin dan berkenal-kenalan dengan masyarakat Banjar di sana, kerana mereka juga sebenarnya satu keluarga.

“Diharapkan juga persatuan Banjar yang berada di negeri atau di setiap daerah tidak akan melupakan asal-usul mereka dan anak muda tidak perlu malu mengaku mereka berketurunan Banjar,” katanya.