JOHOR BAHRU - Seramai 58 individu termasuk 15 warga negara asing ditahan dalam Operasi Dadu yang dijalankan sepanjang 1 Oktober hingga semalam.

Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 168 premis diserbu dan pelbagai peralatan perjudian termasuk wang tunai sebanyak RM5,125 dan SG$184 dirampas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan anggota Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).

“Anggota polis Iskandar Puteri melakukan pemantauan dan serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram yang terdiri daripada loteri awam tanpa lesen dan online.

“Sepanjang 1 Oktober hingga semalam, sebanyak 168 premis diserbu dan seramai 58 orang ditangkap dipercayai terbabit aktiviti perjudian secara haram selain wang tunai turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kesemua individu ditangkap berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi kesalahan judi loteri awam.

“Sebahagiannya didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi kesalahan judi online dan Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi kesalahan judi dalam bangunan.

“Terdapat warga asing yang ditahan juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.