JOHOR BAHRU - Polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson berisi empat butir peluru selepas menahan sebuah kereta di Jalan Kuning, Taman Pelangi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, keadaan kereta terbabit yang mencurigakan dan dipandu lelaki berusia 39 tahun ditahan sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson berisi empat butir peluru.

“Pistol tersebut disimpan dalam sebuah beg di dalam ‘dashboard’ kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod jenayah lampau berkait kes rompak dan dadah.

“Suspek juga didapati masih dikehendaki bersabit dengan dua kes dadah.

“Suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 8/8A Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan enam sebatan,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing suspek didapati positif dadah.

Suspek direman sehingga 26 Jun ini bagi membantu siasatan.