JOHOR BAHRU - Kedudukan PKR Johor masih utuh dan tidak terjejas meskipun dihimpit dakwaan kononnya wujud pergolakan dalam pengurusan Harapan sejak kebelakangan ini.

Pengerusinya, Hassan Karim berkata, PKR Johor tidak mempunyai masalah dan berada dalam keadaan baik bersama parti lain dalam Harapan.

Katanya, perkara itu terbukti melalui pembahagian kerusi yang dibuat pada 18 Januari lalu.

Menurutnya, PKR masih diberi kepercayaan bertanding di kerusi yang sama malah tiada sebarang perebutan dalaman berlaku antara parti komponen lain dalam Harapan.  

“Kita mendapat kepercayaan sama seperti PRU13 yang lalu apabila masih mengekalkan 12 kerusi Dun di Permanis (Parlimen Sekijang), Bukit Naning, (Bakri) Sungai Balang (Muar), Semerah (Parit Sulong), Johor Lama (Kota Tinggi), Sedili (Kota Tinggi), Tenggaroh (Mersing), Tanjung Surat (Pengerang), Tiram (Tebrau) dan Rengit (Batu Pahat)

“Manakala untuk kerusi Parlimen pula, PKR Johor akan bertanding untuk lapan kawasan membabitkan Segamat, Sekijang, Ledang, Batu Pahat, Semberong, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Tebrau,” katanya kepada Sinar Harian.

Hassan berkata, selain daripada persediaan mendapatkan kawasan bertanding itu, Harapan dan PKR juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya pertembungan tiga penjuru.

“PKR seperti kita tahu kini bertanding atas kapasiti Harapan dan sebagai pembangkang lawannya adalah BN. Jadi meskipun kita telah bersedia sekiranya ada tiga penjuru kami harap perkara itu dapat dipertimbangkan oleh pihak yang lain itu.

“Kita harap parti selain bukan BN dapat menghormati kehendak rakyat yang inginkan perubahan dalam pertandingan ini. Jika rakyat inginkan perubahan, satu lawan satu adalah lebih berkesan,” katanya.

Jelasnya, PKR juga mempunyai statistik yang menunjukkan kepercayaan penyokongnya masih kuat serta mempunyai kelebihan survival untuk menghadapi PRU kali ini.