JOHOR BAHRU - PH Johor hari ini menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasi kenyataan Menteri Besar Johor mengenai keputusan kerajaan negeri untuk  tidak mengeluarkan sebarang lesen berhubung penganjuran pesta arak secara terbuka di negeri Johor baru-baru ini.

Pengarah Penerangan dan Komunikasi PH Johor, Suhaizan Kayat berkata kenyataan MB Datuk Osman Sapian jelas menyebut walaupun tiada lesen dikeluarkan untuk penganjuran pesta sedemikian tetapi tiada  halangan bagi orang bukan Islam untuk minum di premis persendirian selagi ia mematuhi syarat  ditetapkan.

“Kenyataan ini dengan jelas menyatakan bahawa keputusan kerajaan negeri ini adalah merujuk kepada pesta arak secara terbuka bukan meliputi penjualan arak kepada orang bukan Islam.

“Pakatan Harapan Johor memandang serius kepada mana-mana pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan Johor telah membuat keputusan untuk menafikan hak orang bukan Islam itu dan mengharamkan lesen penjualan minuman keras kepada orang bukan Islam di negeri Johor,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Suhaizan, keputusan itu berdasarkan pertimbangan menjaga sensitiviti budaya Bangsa Johor di samping hak masyarakat bukan orang Islam terus dipelihara selagi ia tidak melanggar mana-mana peraturan sedia ada.

“Justeru, maklumat ini seharusnya jelas dan sebarang manipulasi dari mana-mana pihak harus dihentikan serta-merta. Ini bagi memastikan berita-berita fitnah dan adu domba antara kaum atau agama dapat dielakkan,” tambah Suhaizan, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

“PH Johor yakin rakyat dapat memahami dan menerima keputusan ini demi memastikan hubungan antara kaum dapat terus berjalan harmoni dan saling hormat-menghormati,” kata beliau. – Bernama