JOHOR BAHRU - Memperkenalkan konsep berbeza, Pertubuhan Ihsan Johor Johor terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk menjadi sukarelawan tanpa mewajibkan penyertaan secara tetap.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata konsep itu menjadikan badan bukan  kerajaan (NGO) itu berbeza berbanding pertubuhan lain.

Katanya, setiap sukarelawan yang ingin menyertai program Ihsan Johor akan dimaklumkan melalui hebahan membolehkan mereka sertai secara tetap atau untuk mengisi masa lapang.

“Kalau nak dibandingkan dengan persatuan lain, melibatkan ahli persatuan sahaja tetapi yang ini (Ihsan Johor) terbuka pada semua.

“Jadi kejayaannya bergantung kepada yang diuar-uarkan untuk dapat penyertaan daripada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Johor di Kampung Seri Makmur dekat Plentong, hari ini.

Mohamed Khaled berkata melalui Ihsan Johor juga, sukarelawan perlu terlibat dalam merangka, merancang dan menjayakan sesuatu aktiviti, mengikut kepakaran atau pengalaman mereka.

Selain itu, mereka juga perlu bekerjasama dan mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak dan tidak terlalu mengharapkan kepada kerajaan.

“Misalnya, dia (Ihsan Johor) beritahu kepada semua mengenai program, jadi siapa nak sumbang seperti batu, simen ataupun cat boleh berbuat demikian. Jadi dia kena rangka dan rancang supaya dapat kumpul semua itu,” kata beliau.

Antara program yang berjaya dilaksanakan oleh pertubuhan itu ialah Sekolah Ihsan dan Dapur Ihsan.

Sementara itu, seorang penerima Rumah Ihsan Johor Mohd Azmilin Jamilan, 43, berkata pemberian rumah itu memberikan keselesaan kepada keluarganya.

“Saya ucap berbanyak terima kasih, rumah ini memang selesa untuk keluarga saya dan kawan-kawan yang mahu berkunjung,” kata bapa kepada anak lima itu, yang turut mengharapkan lebih ramai keluarga  kurang berkemampuan sepertinya mendapat bantuan seperti ini. - Bernama