SENAI - Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan Pertandingan Keceriaan Merdeka 2012 sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 bermula 17 Julai lalu.

Fokus utama pertandingan adalah suasana keceriaan sambutan kemerdekaan serta kreativiti pengibaran Jalur Gemilang di kediaman mahupun premis masing-masing.

Pengarah Penerangan Negeri Johor, Hamdan Hasnan berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada rakyat menunjukkan semangat menyambut hari kemerdekaan negara.

“Sebanyak lapan kategori dipertandingkan yang meliputi penyertaan dari individu hinggalah kepada organisasi dan kawasan kediaman yang menekan aspek kreativiti, daya tarikan dan nilai tambah pada sesuatu hiasan keceriaan itu.

“Peserta Johor pernah mencipta rekod pertandingan ini dengan memenangi kategori bangunan swasta di peringkat kebangsaan untuk tahun 2010 dan 2011,” katanya.

Hamdan berkata, tempoh penyertaan pertandingan ini telah pun bermula serentak dengan pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu dan semua borang penyertaan hendaklah sampai ke urusetia mulai 13 sehingga 23 Ogos bagi peringkat negeri untuk dinilai.

Borang penyertaan bagi pertandingan ini boleh didapati dari semua Pejabat Penerangan Negeri dan Daerah atau memuat turun melalui laman sesawang www.penerangan.gov.my.

Antara hadiah yang menanti pemenang di peringkat kebangsaan berdasarkan kategori adalah RM2,000 bagi kategori individu, Anjung Komuniti 1Malaysia; RM3,000 bagi bangunan kerajaan dan swasta; RM5,000 kategori sekolah (menengah, kebangsaan, jenis kebangsaan) dan RM10,000 bagi kategori kampung (kampung tradisional/kampung baru cina/kawasan estet/Felda), taman perumahan dan pintu gerbang.