JOHOR BAHRU - Sebanyak 10 manifesto Pakatan Harapan (PH) Johor yang dijanjikan dalam 100 hari mentadbir negeri ini dan berjaya dilaksanakan merupakan suatu permulaan yang baik.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, walaupun PH merupakan sebuah kerajaan yang baharu, tetapi pengalaman yang dimiliki berjaya merealisasikan semua janji yang dibuat sebelum ini.

“Tidak dinafikan bahawa untuk menunaikan janji itu bukannya perkara yang mudah. Ini termasuklah soal kewangan yang perlu dicari atau proses dan cara pelaksanaannya yang perlu difikirkan.

“Ini kerana, pada ketika kita buat janji tersebut, kita penuh yakin boleh menang untuk jadi kerajaan. Selepas kita menang, kita perlu menelitinya dan bagaimana merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan pemberian air percuma dan kempen jimat air negeri di Taman Cempaka, di sini, semalam.

Pemberian air percuma 10 meter padu sebulan itu kepada kira-kira 229,337 golongan sasar iaitu golongan B40 bakal bermula 1 September depan.

Golongan B40 yang mempunyai akaun SAJ Ranhill akan didaftar secara automatik, manakala golongan B40 yang menyewa dan tidak mempunyai akaun SAJ Ranhill, perlu mendaftar bermula minggu depan.

Dalam pada itu, Osman berkata, kerajaan negeri mencatatkan kerugian hasil sebanyak RM603,000 bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini disebabkan kecurian air oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kerugian itu melibatkan kira-kira 209,000 meter padu air membabitkan sebanyak 201 aduan berhubung kecurian air dalam tempoh yang sama,” katanya.