MUAR - Pelaksanaan Permit Kebenaran Sembelihan Untuk Tujuan Adat dan Agama yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sejak sekian lama, bertujuan memeriksa tahap kesihatan haiwan korban bagi memastikan ternakan itu berada dalam keadaan baik.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, permit bernilai RM35 bagi setiap seekor sembelihan itu juga seharusnya disediakan oleh golongan penternak sebagai menjamin daging korban hasil ternakan mereka itu selamat dimakan.

"Kita harus ambil peluang bahawa permit ini untuk kebaikan masyarakat yang mana ia merupakan tanggungjawab penternak dalam memastikan lembu yang mereka jual sihat dan terkawal dari penyakit.

"Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk melindungi rakyat kerana jika boleh, kita nak elakkan keadaan di mana dah jadi wabak baru nak ambil tindakan. Sedangkan, mencegah itu adalah lebih baik," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebarang aktiviti sembelihan seharusnya mendapatkan permit terlebih dahulu, namun diakui ada sebahagian golongan penternak yang gagal mematuhi undang-undang berkenaan.

"Asalkan melibatkan penyembelihan, mereka perlu ambil permit. Bagaimanapun kami akui, ada sebahagian penternak gagal mendapatkan permit, cuma setakat ini kita tak pernah lagi ambil tindakan.

"Namun, keadaan itu boleh membahayakan kesihatan sekiranya haiwan terbabit berpenyakit. Seperti kes yang berlaku di Mersing sebelum yang mana penternak tak ambil permit pindah lembu dari Pahang dan hal itu telah mengakibatkan wabak penyakit kuku dan mulut.

"Jadi, kita boleh lihat bahawa peraturan ini adalah penting dan sangat baik untuk masyarakat. Permit itu hanya bertujuan untuk tahu sumber ternakan dari mana dan tahap kesihatan haiwan terbabit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Aida Muhid, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memantau aktiviti penyembelihan ternakan bagi tujuan korban.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak yang akan menganjurkan aktiviti tersebut dikehendaki mendapatkan permit penyembelihan bagi acara adat dan agama. Ini adalah berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan 2009) yang mana mengehendakinya mendapatkan permit penyembelihan tersebut dan Kaedah-Kaedah Binatang menyatakan kegagalan mendapatkan permit tersebut boleh didenda sebanyak RM100 jika sabit kesalahan.

"Manakala, bagi pemindahan ternakan, karkas dan daging perlulah mendapat kebenaran pemindahan dari Jabatan Veterinar berdekatan dan Sijil Kesihatan Veterinar Untuk Kawalan Penyakit yang mana Johor  diwartakan sebagai Kawasan Kawalan Penyakit Ternakan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953,” katanya.

Beliau berkata, sijil kesihatan dikeluarkan setelah diperiksa dan undang-undangnya terlibat di bawah Pusat Veterinar yang diwartakan di bawah Seksyen 82 Akta Binatang 1953 (Akta 647).

“Mana-mana pemindahan ternakan perlulah mematuhi seksyen di atas, kesalahan di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953 pindaan 2013 boleh dikenakan penalti maksimum RM15,000," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.