JOHOR BAHRU- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pasukan penyelamat serta agensi berkaitan di negeri ini bersiap sedia menghadapi bencana banjir disebabkan faktor cuaca tidak menentu pada masa kini.

Menerusi Facebook Sultan Ibrahim, baginda mengingatkan semua pihak agar melakukan persiapan awal bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera ke kawasan penempatan yang terlibat dalam bencana banjir.

“Disebabkan faktor cuaca tidak menentu pada masa kini, adalah amat penting bagi semua pihak termasuk pasukan penyelamat supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap-sedia,” titah Tuanku Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO) menerusi laman rasmi Facebook baginda, di sini hari ini.

Selain itu, baginda turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka ketika berlaku banjir.

Menurut Sultan Ibrahim, meskipun terjadi bencana alam, ia sekali gus  dapat  mewujudkan  keharmonian  menerusi kerjasama yang terjalin.

“Ketika berlaku banjir, kita dapat melihat bagaimana rakyat tanpa mengira agama datang membantu antara satu sama lain. Ini adalah peluang untuk mengukuhkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor,” titah baginda.

Ahad lalu (9 Sept) Sultan Ibrahim berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh, dekat Batu Pahat.- Bernama.